KUALA LUMPUR 6 Nov – Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada paras 2.75 peratus.
Bank pusat itu dalam kenyataan hari ini berkata, perkembangan ekonomi negara terkini menunjukkan pertumbuhan pada suku ketiga tahun ini lebih baik daripada jangkaan, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang berdaya tahan serta pengeluaran komoditi yang kembali meningkat.
"Melangkah ke hadapan, permintaan domestik yang berdaya tahan dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi menjelang 2026.
"Guna tenaga yang stabil, pertumbuhan upah yang sihat serta pelaksanaan langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan terus menggalakkan perbelanjaan isi rumah," kata bank pusat itu.
Menurut Bank Negara, selain itu, aktiviti pelaburan dijangka berkembang hasil daripada kemajuan projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan awam, pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Langkah-langkah dalam Belanjawan 2026 juga akan menyumbang kepada sokongan terhadap pertumbuhan.
"Walau bagaimanapun, prospek pertumbuhan Malaysia kekal tertakluk kepada ketidakpastian luaran, termasuk risiko pertumbuhan global yang perlahan, sentimen perniagaan yang lemah serta pengeluaran komoditi yang mungkin lebih rendah daripada jangkaan.
"Sebaliknya, potensi pertumbuhan lebih pesat boleh dipacu oleh permintaan global yang lebih kukuh terhadap barangan E&E dan aktiviti pelancongan yang giat," katanya.
Menurut Bank Negara, sejak awal tahun hingga kini, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 1.4% dan 1.9%.
Katanya, menjelang tahun 2026, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana berikutan penurunan tekanan kos global. Harga komoditi dunia yang dijangka stabil akan menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang lebih terkawal.
Sementara itu, inflasi teras pada 2026 dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya, mencerminkan pertumbuhan ekonomi yang berterusan tanpa tekanan permintaan yang berlebihan. Kesan keseluruhan daripada pembaharuan dasar dalam negeri terhadap inflasi dijangka terhad.
"Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat pendirian dasar monetari adalah wajar serta terus memberikan sokongan terhadap pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran harga yang stabil.
"Jawatankuasa itu akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berkaitan prospek pertumbuhan serta inflasi dalam negeri," katanya.
Dalam pada itu Bank Negara berkata, penunjuk terkini menunjukkan pengembangan yang berterusan dalam pertumbuhan global.
Katanya, walaupun kesan tarif yang lebih tinggi dijangka terus mempengaruhi aktiviti ekonomi dunia, prospek pertumbuhan global masih disokong oleh pasaran pekerjaan yang berdaya tahan, kadar inflasi yang semakin menurun, dasar monetari yang kurang ketat serta dasar fiskal yang terus menyokong pertumbuhan.
Tambahnya, penyelesaian beberapa rundingan perdagangan antarabangsa juga telah membantu meredakan sedikit ketidakpastian global.
"Namun begitu, pertumbuhan dunia kekal berisiko menjadi perlahan disebabkan oleh kemungkinan tarif baharu yang lebih tinggi, terutamanya bagi produk tertentu, selain ketegangan geopolitik yang semakin meningkat. Tambahan pula, wujud kebimbangan terhadap penilaian pasaran kewangan global yang kekal tinggi.
"Sebaliknya, pertumbuhan global berpotensi menjadi lebih pesat sekiranya kesan tarif lebih sederhana serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju terus dilaksanakan," kata kenyataan itu lagi. - DagangNews.com








