Bank Islam perluas khidmat Ejen Bank Berdaftar di empat lokasi di Sabah dan Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Islam perluas khidmat Ejen Bank Berdaftar di empat lokasi di Sabah dan Sarawak

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 26 Feb - Bank Islam Malaysia Berhad memperluas perkhidmatan Ejen Bank Berdaftar (EBB) ke empat lokasi di Malaysia Timur mulai 24 Februari 2025 dalam usaha menyediakan akses kewangan yang lebih mudah kepada masyarakat setempat di kawasan terlibat.

 

Di Sabah, lokasi baharu EBB Bank Islam itu ditawarkan di cawangan Ar-Rahnu YaPEIM di Semporna, Sipitang dan Kota Belud sementara di Sarawak, ia tersedia di cawangan Ar-Rahnu YaPEIM di Lawas.

 

Perkhidmatan EBB baharu itu membolehkan penduduk tempatan mendapat akses perbankan yang lebih mudah tanpa perlu mengembara sejauh 50 hingga lebih 100 kilometer ke cawangan atau terminal layan diri Bank Islam terdekat. 

 

Melalui Ar-Rahnu YaPEIM sebagai ejen perbankan yang dilantik bank, pelanggan boleh menyempurnakan transaksi perbankan penting seperti deposit dan pengeluaran tunai serta menambah nilai peranti mudah alih mereka. 

 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan Ketua Pegawai Kemampanan Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff berkata, perluasan khidmat EBB Bank Islam itu mencerminkan komitmennya dalam memperkukuh rangkuman kewangan di seluruh Malaysia. 

 

"Kerjasama strategik kami dengan YaPEIM melalui cawangan Ar-Rahnu YaPEIM serta Kedai Mesra menerusi Petronas, membolehkan kami membawa perkhidmatan bank lebih dekat kepada komuniti yang sebelum ini mempunyai akses terhad terhadap kemudahan perbankan tradisional.

 

"Transaksi di premis ejen perbankan kami dijalankan secara masa nyata, direkod secara elektronik dan diuruskan dengan selamat bagi memastikan kepentingan semua pemegang taruh termasuk pelanggan, ejen dan bank," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Jelas beliau, pelanggan juga boleh mengunjungi cawangan EBB Bank Islam untuk menikmati perkhidmatan perbankan yang lancar tanpa dikenakan kos tambahan.

 

Mohamed Iran berkata, perluasan EBB ke wilayah Malaysia Timur menandakan pencapaian penting bagi bank dalam memperluaskan akses kewangan dan memperkasakan ekonomi tempatan. 

 

Katanya, ia melengkapi penawaran perbankan digital Bank Islam, membolehkan pelanggan memilih antara transaksi secara bersemuka atau dalam talian, bergantung kepada keutamaan dan keperluan mereka. 

 

"Kami juga menggalakkan pelanggan untuk melakukan transaksi perbankan secara elektronik yang ternyata lebih mudah dan selamat," ujarnya.

 

Selaras dengan usaha peralihan digitalnya, beliau berkata, Bank Islam juga melancarkan platform perbankan mudah alih baharu, BIMB Mobile, menggantikan aplikasi GO by Bank Islam serta platform perbankan Internet baharu, BIMB Web.

 

Tambah beliau, hampir sejuta pelanggan telah beralih kepada sistem baharu itu setakat ini.

 

Sejak penubuhannya pada tahun 2019, EBB Bank Islam memberikan kemudahan kepada ribuan pelanggan, terutamanya di kawasan luar bandar. 

 

Ketika ini, terdapat 37 ejen termasuk empat premis baharu di bawah EBB Bank Islam di seluruh negara dengan sasaran untuk meningkatkan jumlah berkenaan kepada 50 menjelang akhir 2025. 

 

Pertumbuhan itu akan disokong dengan pelantikan lebih banyak ejen di Sabah dan Sarawak.

 

Sempena pelancaran perkhidmatan baharu tersebut, Bank Islam akan mengadakan siri jelajah EBB di Ar-Rahnu YaPEIM Sipitang dan Lawas dari 24 hingga 25 Februari 2025, di Semporna dari 25 hingga 26 Februari 2025 dan di Kota Belud dari 26 hingga 27 Februari 2025. - DagangNews.com