Bank Dunia sifatkan pemotongan had subsidi RON95 langkah tepat kerajaan tangani beban fiskal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Dunia sifatkan pemotongan had subsidi RON95 langkah tepat kerajaan tangani beban fiskal

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 9 April – Pengurangan had pembelian petrol bersubsidi RON95 kepada 200 liter sebulan dilihat sebagai langkah tepat kerajaan dalam menangani tekanan fiskal yang semakin meningkat.


Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata, usaha itu yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Mac 2026, berikutan konflik di Timur Tengah.


Beliau turut menyifatkan pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) sebagai pendekatan lebih bersasar memastikan subsidi diagihkan secara adil, dan rakyat berpendapatan rendah menikmati manfaat besar.


"Subsidi bahan api di Malaysia bersifat regresif, dengan selama ini kumpulan berpendapatan tinggi T10 dan T20 didapati menggunakan lebih banyak petrol berbanding golongan yang lain," jelasnya.


Menurut Sanghi, pelarasan had adalah wajar kerana mengurangkan ketidakseimbangan agihan subsidi, memandangkan golongan kaya diketahui sering menggunakan lebih 200 liter RON95 pada setiap bulan.


Sehubungan itu, langkah pengurangan 100 liter ini adalah betul dalam memastikan subsidi diagihkan dengan lebih adil,” katanya pada sesi taklimat Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia April 2026.


Kerajaan menetapkan had pembelian RON95 bersubsidi di bawah BUDI95 dikurangkan daripada 300 liter sebulan mulai 1 April 2026, sebagai langkah sementara susulan ketidaktentuan global yang berlaku.


Sanghi turut menegaskan yang pendekatan tersebut lebih bersifat jangka pendek, namun tidak menolak kemungkinan besar usaha pelarasan lanjut semula sekiranya kedudukan fiskal negara terus tertekan.


"Pendekatan kuota seperti BUDI95 ternyata memberi ruang kepada kerajaan untuk mampu mengimbangi antara keperluan melindungi rakyat dan memastikan kemampanan kewangan negara," tambah beliau.


Keadaan berkenaan ternyata dapat dilihat apabila harga petrol RON95 bersubsidi kepada rakyat di seluruh negara masih lagi adalah kekal pada RM1.99 seliter. - DagangNews.com