Bahan mentah import mahal jejaskan segmen pembungkusan, ayam ternakan, bakeri dan minuman – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bahan mentah import mahal jejaskan segmen pembungkusan, ayam ternakan, bakeri dan minuman – TA Securities

Gambar Mohd Naim Firdaus Aziz / DagangNews.Com
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 April – Keuntungan syarikat sektor pengguna dikhuatiri menyusut sehingga 4% bagi tempoh FY26 hingga FY28 berikutan kenaikan mendadak kos bahan mentah, menurut TA Securities.


Firma penyelidikan itu berkata, semakan semula unjuran itu dibuat merentasi pelbagai subsektor, dengan turut didorong oleh peningkatan kos pembungkusan, logistik serta bahan api yang berkaitan diesel.


Menurutnya, tekanan kos paling ketara dalam segmen pembungkusan industri, ayam ternakan, bakeri dan minuman yang bergantung tinggi kepada bahan mentah import dan sumber tenaga intensif karbon.


"Bagi segmen pembungkusan, Scientex Berhad menyaksikan unjuran pendapatan diturunkan sehingga 4.5% susulan kenaikan harga resin sehingga 33%, sekali gus menjejaskan margin," kata TA Securities.


Dalam subsektor ayam ternakan, unjuran keuntungan untuk CAB Cakaran Corporation Berhad dan QL Resources Berhad masing-masing dikurangkan sekitar 3% berikutan peningkatan kos makanan ternakan.


Ujar firma penyelidikan tersebut, dedak kebiasaan haiwan seperti kacang soya didapati naik 7% setakat tahun ini (YTD) sekali gus boleh mengurangkan margin pendapatan dua syarikat berkenaan.


Tekanan yang sama kata TA Securities, turut menjejaskan Leong Hup International Berhad, khususnya dalam segmen ayam bersepadu, akibat kos input dan operasi pembuatan yang didapati lebih tinggi.

 

sektor pengguna_DagangNews


"Beberapa syarikat pengguna seperti Fraser & Neave Holdings Berhad, Farm Fresh Berhad, SDS Group Berhad dan Nestlé (Malaysia) Berhad turut berdepan semakan turun unjuran pendapatan," jelasnya.


Kemerosotan hasil berkenaan tambah firma penyelidikan itu, susulan faktor kenaikan ketara harga susu tepung jenis penuh dan skim yang masing-masing mencecah sekitar 17% dan 39% baru-baru ini.


Sehubungan itu, TA Securities menurunkan harga sasaran (TP) Farm Fresh Berhad kepada RM3.05 daripada RM3.20, manakala Nestlé (Malaysia) Berhad disemak kepada RM124.60 daripada RM128.


Walaupun berdepan tekanan kos, firma tersebut mengekalkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor pengguna, disokong permintaan domestik yang masih kekal stabil hasil beberapa faktor tertentu.


"Antaranya pelarasan gaji kakitangan awam, langkah fiskal kerajaan di bawah Belanjawan 2026 serta keperluan berterusan terhadap barangan asas yang menyaksikan kadar permintaan stabil," katanya.


Bagaimanapun, TA Securities memberi amaran mengenai risiko margin keuntungan yang dijangka terus tertekan dalam jangka pendek selagi kos input adalah kekal tinggi. - DagangNews.com