Badan pemikir SERC desak kerajaan gantung SST kerana tekan aliran tunai perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Badan pemikir SERC desak kerajaan gantung SST kerana tekan aliran tunai perniagaan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 MacSocio-Economic Research Centre (SERC) mendesak kerajaan menggantung cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluaskan sejak 1 Julai 2025, berikutan lonjakan harga minyak global menekan aliran tunai perniagaan.


Badan pemikir itu mengesa penangguhan sementara cukai berkenaan khususnya ke atas sektor tertentu seperti sewaan, perkhidmatan profesional, pembinaan, kesihatan dan pendidikan.


Menurut Pengarah Esekutifnya, Lee Heng Guie, langkah tersebut dinilai sebagai perlu bagi membantu syarikat-syarikat mengurus tekanan tunai jangka pendek, serta masalah peningkatan kos operasi.


"Usaha ini mungkin boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk tempoh tiga bulan, namun boleh dikaji semula secara berkala bergantung kepada keadaan ekonomi semasa," jelas beliau dalam kenyataan.


Tambahnya, SERC turut mencadangkan pelaksanaan program bantuan bayaran balik pinjaman bersasar oleh bank bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan tekanan aliran tunai.


Dalam aspek percukaian, ia menggesa kadar minimum anggaran cukai di bawah borang CP204 diturunkan daripada 85% kepada 50%, serta menggantung penalti 10% jika cukai sebenar melebihi ambang tertentu.

 

MOF_DagangNews


Badan pemikir tersebut kata Heng Guie, juga mencadangkan lebihan bayaran cukai dibenarkan untuk ditolak terhadap liabiliti semasa, memandangkan ketidaktentuan prestasi perniagaan ketika ini.


"Dari sudut kos tenaga, kami menggesa semakan tarif, pengurangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas produk tenaga serta pengecualian penuh SST bagi peralatan solar," tambah beliau.


Bagi sektor pertanian pula, SERC menyarankan kerajaan supaya dapat menyediakan subsidi bersasar untuk baja, bahan api dan bekalan elektrik bagi mengurangkan tekanan kos kepada petani tempatan.


Kata beliau, peningkatan kos baja akibat harga bahan api yang tinggi boleh menjejaskan pengeluaran makanan, sekali gus berisiko mencetuskan krisis bekalan sekiranya tidak ditangani dengan segera.


Cadangan itu susulan ketegangan di Timur Tengah terus mengganggu rantaian bekalan global, meningkatkan caj logistik serta menambah beban subsidi kerajaan dan tekanan kos kepada perniagaan. - DagangNews.com