KUALA LUMPUR 7 Ogos – Azam Jaya Berhad, syarikat pembinaan infrastruktur yang berpangkalan di Sabah, meraih kontrak bernilai RM120.9 juta daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi kerja-kerja naik taraf Lapangan Terbang Tawau.
Kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Pembinaan Azam Jaya Sdn Bhd, menerusi Surat Setuju Terima (LOA) yang diterimanya.
Di bawah kontrak tersebut, Azam Jaya akan menjalankan projek secara rekabentuk dan bina yang merangkumi kerja-kerja awal, rekabentuk serta pembinaan bangunan terminal dan kemudahan berkaitan.
Projek berkenaan dijadualkan bermula pada 22 Ogos 2025 dan siap sepenuhnya menjelang 17 Ogos 2028.
Lapangan Terbang Tawau yang terletak di tenggara Sabah merupakan pintu masuk penting bagi pelancong domestik dan antarabangsa, serta satu daripada dua lapangan terbang di negeri itu yang dilengkapi kemudahan imigresen bagi penerbangan antarabangsa.
Pada 2024, ia mencatat hampir 2 juta pergerakan penumpang, menjadikannya lapangan terbang kelapan tersibuk di Malaysia, sekaligus menekankan keperluan bagi kerja-kerja penaiktarafan bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.
Projek ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan kewangan Azam Jaya, selain memberikan jaminan terhadap pendapatan dan aliran tunai syarikat sehingga tahun 2028.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Jessica Lo berkata, kontrak tersebut membuktikan keyakinan kerajaan terhadap keupayaan syarikat dalam melaksanakan projek berskala besar di Sabah.
“Sebagai syarikat kelahiran Sabah, kami amat berbangga diberi kepercayaan untuk menyokong pembangunan infrastruktur negeri.
“Naik taraf Lapangan Terbang Tawau bukan sahaja meningkatkan keselesaan dan pengalaman pelancong, tetapi juga menyokong pertumbuhan pelancongan dan ekonomi di pantai timur Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, kontrak baharu ini turut melengkapi penglibatan sedia ada syarikat dalam projek Lebuhraya Pan Borneo serta memperkukuh lagi jejak Azam Jaya di seluruh Sabah.
Beliau turut menjangkakan peruntukan berterusan untuk Sabah dalam Belanjawan 2025 akan membuka lebih banyak peluang untuk syarikat terlibat dalam pembangunan negeri.
“Kami juga sedang meneroka pengembangan ke Sarawak dan Kalimantan sebagai sebahagian strategi jangka panjang untuk meluaskan capaian geografi.
“Dana RM61.5 juta yang diperoleh daripada IPO akan digunakan untuk memperkukuh keupayaan pembinaan kami dan mengambil projek lebih besar serta kompleks,” ujarnya.
Kontrak baharu itu akan mengukuhkan lagi buku pesanan syarikat yang kini mencecah RM1.42 bilion.
Untuk rekod, Azam Jaya disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 11 November 2024 di bawah nama saham AZAMJAYA dan kod 5329.
Ditubuhkan pada 1992, Azam Jaya telah menyiapkan lebih 50 projek infrastruktur jalan termasuk jalan raya, lebuh raya, jambatan dan jejambat di seluruh Sabah, dengan klien terdiri daripada agensi kerajaan persekutuan dan negeri, pemaju hartanah serta kontraktor utama. - DagangNews.com








