KUALA LUMPUR 26 Sept – Azam Jaya Berhad melakar satu lagi kejayaan penting apabila dilantik sebagai kontraktor utama projek menaik taraf Lapangan Terbang Tawau di Sabah yang bernilai RM120.9 juta.
Syarikat pembinaan infrastruktur jalan raya terkemuka negeri itu berkata, projek diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan bakal memperkukuhkan infrastruktur pengangkutan udara negara
Menurut Pengarah Eksekutif Azam Jaya, Datuk Jessica Lo, kejayaan terbaharu syarikat berkenaan turut menandakan satu pencapaian penting mencerminkan kemajuan dan peluang baharu untuk Sabah.
"Hari ini sebagai sebuah syarikat tempatan, kami berbesar hati dapat menyumbang kepada pembangunan negeri ini melalui usaha penambahbaikan infrastruktur awam,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Majlis pecah tanah rasmi projek tersebut disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, sekali gus menandakan permulaan kerja-kerja pembinaan yang dijangka selesai menjelang Ogos 2028.
Mengulas lanjut, Lo berkata, apabila siap, lapangan terbang tersebut dijangka mampu meningkatkan kapasiti tahunan daripada hanya seramai 1.5 juta penumpang kepada mencecah 2.5 juta penumpang.
Pertambahan berkenaan jelasnya, menyokong pertumbuhan jumlah penumpang yang mencatat 1.96 juta pada 2024, menjadikan Tawau sebagai lapangan terbang kelapan yang paling sibuk di Malaysia.

"Skop kerja bagi projek naik taraf ini merangkumi perluasan bangunan terminal utama, penambahan kaunter daftar masuk serta laluan imigresen dan pembinaan jejantas udara baharu," katanya lagi.
Azam Jaya tambah Lo, turut menaik taraf sistem maklumat penerbangan dan penghawa dingin, serta
menambahkan ruang tuntutan bagasi, bilik air, surau dan ruang komersial di bangunan terminal.
Projek ini jelasnya, dijalankan melalui kontrak reka dan bina yang dianugerahkan oleh kerajaan kepada anak syarikat milik penuh kumpulan tersebut, Pembinaan Azam Jaya Sdn Bhd, pada Ogos 2025.
Selain itu tambah beliau lagi, projek ini turut seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan kepada pembangunan infrastruktur secara inklusif dan mampan untuk kesejahteraan rakyat.
“Kami kekal komited menyokong agenda pembangunan jangka panjang kerajaan Sabah, termasuk sambungan prasarana awam luar bandar ditetapkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” tambah Lo.
Kedudukan strategik Tawau turut membuka potensi baharu berikutan pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, menjadikannya pintu masuk pelancong dan pengembara perniagaan serantau.
Dengan rekod prestasi dalam projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo, Azam Jaya kata beliau, terus memainkan peranan utama dalam memperkukuhkan jaringan infrastruktur Sabah. - DagangNews.com








