Azam Baki didakwa miliki saham lebih had, PM digesa bertindak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Azam Baki didakwa miliki saham lebih had, PM digesa bertindak

KUALA LUMPUR 10 Feb - Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sekali lagi menjadi perhatian berhubung portfolio pegangan sahamnya — isu yang sebelum ini pernah menyebabkan Pakatan Harapan menyertai gesaan supaya beliau disingkirkan daripada jawatan ketua pencegah rasuah negara, lapor Malaysiakini.

 

Portal berita itu yang memetik laporan Bloomberg hari ini mendedahkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan Velocity Capital Partners Berhad — bersamaan kira-kira pegangan 1.7 peratus.

 

Malaysiakini kemudiannya mengesahkan laporan tersebut melalui rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

Nilai saham tersebut hampir RM800,000 pada pembukaan dagangan hari ini, jauh melebihi had yang dikenakan kepada penjawat awam yang tidak dibenarkan membeli lebih RM100,000 saham dalam mana-mana satu syarikat.

 

Tidak jelas bila Azam memperoleh saham tersebut. Namun, semakan portal berita itu terhadap sejarah harga saham Velocity Capital Partners di Bursa Malaysia menunjukkan nilainya relatif tidak berubah sejak Ogos 2022 pada sekitar RM0.045 sesaham dan pernah memuncak hampir RM1.50 sesaham pada April 2019.

 

Azam enggan mengulas ketika dihubungi Malaysiakini.

 

Bagaimanapun, kepada New Straits Times, Azam menjelaskan saham tersebut diisytiharkan dengan betul menerusi sistem Pengurusan Sumber Manusia Jabatan Perkhidmatan Awam.

 

Dia juga berkata saham itu dibeli tahun lepas dan dijual dalam tahun yang sama.  Ini meskipun namanya masih muncul sebagai pemegang saham dalam rekod SSM yang diakses hari ini.

 

Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim yang dihubungi Malaysiakini berpendapat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu merehatkan ketua SPRM itu sekarang.

 

“Kerana ada perkembangan baharu, ada fakta baharu, ada evidence dan keterangan baharu maka PM Anwar Ibrahim patut mengarahkan Azam Baki bercuti atau kontraknya ditamatkan segera supaya satu siasatan baru oleh SPRM dan/ atau polis terhadap Azam Baki.

 

"Tiada pilihan lain jika PM Anwar jujur untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa ke akar umbi,” katanya.

 

Beliau menambah, Anwar sedia maklum mengenai dakwaan terhadap Azam dan sokongan berterusan terhadap ketua SPRM itu telah menjejaskan kredibiliti kerajaan dalam usaha memerangi rasuah.