KUALA LUMPUR 10 April – Axteria Group Berhad mengambil alih 80% kepentingan ekuiti dalam syarikat kontraktor bangunan, Niaga Sari Sdn Bhd (NSSB), dengan pertimbangan tunai berjumlah RM35 juta.
Kumpulan tersebut memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat (SSA) dengan seramai tujuh vendor, termasuk Pengasas NSSB, Datuk Chan Chee Hong dan Pengarah Eksekutifnya, Gwi Chin Fatt.
NSSB jelasnya, merupakan kontraktor bangunan berpengalaman yang sudah berjaya menyiapkan pelbagai projek pembinaan di Malaysia dengan nilai agregat kira-kira RM1.0 bilion sejak tahun 2000.
"Setakat ini, NSSB mempunyai buku tempahan sedia ada bernilai RM567.4 juta melibatkan projek kediaman serta komersial di Terengganu dan Kelantan," maklum Axteria kepada Bursa Malaysia.
Pengambilalihan ini disertakan dengan jaminan keuntungan sebanyak RM9.2 juta secara agregat bagi tempoh dua tahun, iaitu bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2027 dan 30 Jun 2028.
Langkah strategik menerusi pegangan syarikat berkenaan ini katanya, bertujuan untuk melengkapkan perniagaan pembangunan dan pengurusan hartanah sedia ada yang dilaksanakan kumpulan tersebut.
Selain itu kata Axteria, usaha berkenaan membolehkan kumpulan meningkatkan pendapatannya tanpa perlu melibatkan sebarang aliran tunai yang amat besar bagi kegiatan pemerolehan simpanan tanah.
"Pihak pengurusan kumpulan memaklumkan yang pertimbangan pembelian tersebut akan dibiayai melalui kombinasi pinjaman bank dan sumber dana dalaman syarikat itu sendiri," jelas makluman berkenaan.
Pada masa sama, cadangan pengambilalihan ini tidak memerlukan sebarang kelulusan pemegang saham dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang suku kedua tahun kewangan 2026. - DagangNews.com








