Axiata dijangka catat sedikit untung daripada pelupusan operasi di Myanmar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axiata dijangka catat sedikit untung daripada pelupusan operasi di Myanmar

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 April - Axiata Group Berhad dijangka tiada mengalami kesan ketara ke atas pendapatan teras susulan pelupusan Edotco di Myanmar yang telah pun dikecualikan daripada keuntungan normal selepas cukai dan pelaporan kepentingan minoriti, menurut Kenanga Reserach.
 

Firma penyelidikan berkenaan bagaimanapun berkata, langkah penjualan operasinya di negara tersebut berkemungkinan akan ditangguhkan lagi berikutan insiden gempa bumi dahsyat yang melanda Myanmar baru-baru ini.
 

Edotco merupakan pemain utama dengan 21 peratus bahagian pasaran berdasarkan bilangan menara di seluruh Myanmar. Sehingga suku keempat 2023, ia memiliki 2,128 menara iaitu 6 peratus daripada jumlah portfolio Edotco, dan menguruskan 945 tapak dengan nisbah penyewaan 2.02.
 

“Selain itu, kami percaya kemungkinan berlaku hapus kira aset yang lebih besar adalah rendah, memandangkan kemerosotan ketara yang telah direkodkan pada suku keempat berakhir 31 Disember 2023 (4Q23),” kata Kenanga Research dalam satu nota kajian.
 

Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut tidak menolak kemungkinan semakan dalam penilaian jualan dengan kecenderungan adalah menurun untuk Edotco, ekoran faktor keadaan semasa.
 

Pada 4Q23, Axiata menyahkan Edotco sebagai operasi berterusan dengan jangkaan untuk menjual sebanyak 87.5 peratus kepentingannya kepada pelabur.
 

Selain itu, syarikat telekomunikasi berkenaan juga telah mengiktiraf sebanyak RM489 juta dalam kemerosotan aset untuk memudahkan proses penjualan.
 

Pada 4Q24, Axiata namun telah mengklasifikasikan semula Edotco sebagai operasi berterusan, dan membalikkan penyahgabungan sebelumnya.
 

"Peralihan ini berlaku kerana perjanjian jual beli ditetapkan untuk luput pada April 2025 setelah menunggu kelulusan kawal selia. Walaupun berlaku kelewatan, Axiata tetap komited untuk menyelesaikan jualan," kata firma penyelidikan itu.
 

Kenanga Research telah mengekalkan harga sasarannya pada RM1.85 sesaham dan memberikan saranan "prestasi pasaran" di kaunter, dengan Edotco daripada unjuran penilaian jumlah bahagiannya.
 

Myanmar dilanda gempa bumi paling kuat dalam satu abad, mencatatkan magnitud 7.7, menurut agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Ia juga merupakan gempa bumi palingkuat di dunia sejak 2023, berdasarkan data yang dikumpulkan oleh firma antarabangsa Bloomberg.
 

"Menurut Axiata, tumpuan segeranya adalah untuk menyokong usaha menyelamat di Myanmar, malah sebelum gempa bumi, kumpulan itu telah merundingkan lanjutan tarikh tutup jualan kerana kelulusan kawal selia yang perlahan," tambah Kenanga Reserach.
 

Walaupun Axiata dilaporkan kekal komited terhadap usaha pelupusan, proses itu berkemungkinan akan menghadapi kelewatan lanjut berikutan kejadian gempa bumi.
 

Pada 4Q24, kerugian bersih Axiata mengecil kepada RM224.8 juta berbanding kerugian bersih RM695 juta pada suku tahun lalu.
 

Hasil susut kepada RM5.4 bilion berbanding RM5.9 bilion pada suku yang sama tahun lepas.
 

Axiata melaporkan peningkatan 12.3 peratus dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, manakala pendapatan sebelum faedah serta cukai lebih dua kali ganda.
 

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti juga melonjak lebih 100 peratus kepada RM946.8 juta.
 

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2024 (FY24), ia mencatatkan keuntungan bersih RM946.8 juta, dengan pendapatan sesaham 10.30 sen, berbanding kerugian bersih RM2 bilion dan kerugian sesaham 21.70 sen pada tahun sebelumnya. 
 

Pendapatannya adalah kekal tidak berubah kepada sebanyak RM22.3 bilion pada FY24. - DagangNews.com