Axiata catat untung bersih RM159.8 juta naik 100% pada 1QFY25 disokong portfolio perniagaan strategik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axiata catat untung bersih RM159.8 juta naik 100% pada 1QFY25 disokong portfolio perniagaan strategik

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Mei — Axiata Group Berhad mencatatkan peningkatan kukuh tahun ke tahun (Y-o-Y) dalam Keuntungan Selepas Cukai dan Faedah Minoriti (PATAMI) bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2025 kepada RM159.8 juta.


Kumpulan telekomunikasi tersebut berkata, prestasi kukuh itu adalah bukti sokongan fokus portfolio perniagaan strategik yang ketika ini memasuki tahun kedua pelaksanaan, dan kemajuan ketara dalam perancangan jangka panjang.


Tambahnya, PATAMI direkodkan itu meningkat lebih 100 peratus YoY, dijana menerusi sumbangan positif daripada EDOTCO Group Sdn Bhd, Axiata Digital & Analytics (ADA), Dialog Axiata PLC, Robi Axiata Ltd dan Smart Axiata Company Ltd. 


"Prestasi ini turut dibantu susut nilai dan pelunasan (D&A) lebih rendah, keuntungan mata wang asing, kos kewangan bersih yang kecil dan hasil semakin tinggi daripada CelcomDigi," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Bagaimanapun katanya, hasil dilaporkan merosot 11.3 peratus disebabkan oleh faktor kesan pertukaran asing, terutamanya kejatuhan nilai rupiah Indonesia yang mempengaruhi XLSMART dan taka Bangladesh apabila menjejaskan pula Robi.


Sementara itu, Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, permulaan operasi kumpulan tersebut pada tahun kewangan baharu jelas menunjukkan komitmen mereka berjaya dalam mencipta nilai daripada portfolio perniagaan.


Prestasi 1QFY25 tambah beliau, menyerlahkan keupayaan Axiata untuk menyesuaikan diri, menyepadukan dan berkembang dalam landskap serantau yang lebih dinamik, walaupun di tengah-tengah ketidaktentuan situasi makroekonomi.


“Dengan kedudukan kewangan yang teguh, strategi lebih jelas, dan kepimpinan kukuh di seluruh pasaran, kami meletakkan asas untuk mengekalkan masa depan digital Asia Tenggara dan Asia Selatan," katanya dalam satu kenyataan.


Lembaga Pengarah Axiata tambahnya, kekal fokus untuk memastikan kekuatan tadbir urus, disiplin strategik dan daya tahan jangka panjang sambil kami terus membentuk lembaran kumpulan seterusnya. - DagangNews.com