KUALA LUMPUR 8 April – AWC Berhad meraih kontrak bernilai RM22.2 juta bagi kerja-kerja kejuruteraan untuk sebuah projek pusat data, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen infrastruktur berteknologi tinggi.
Kontrak tersebut diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Qudotech Sdn Bhd yang dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja paip, tangki silo serta sistem sanitari dalaman.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AWC berkata projek berkenaan diberikan oleh sebuah syarikat kontraktor usaha sama, namun identitinya tidak didedahkan berikutan terikat dengan perjanjian kerahsiaan.
Kontrak itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 27 Disember 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Presiden AWC, Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata kejayaan memperoleh kontrak tersebut mencerminkan kepercayaan rakan niaga terhadap keupayaan kumpulan dalam melaksanakan projek berkeperluan teknikal tinggi.
“Projek pusat data lazimnya menuntut piawaian ketat dari segi masa dan teknikal, justeru kami komited memastikan penyempurnaan kerja memenuhi jangkaan tersebut.
“Kontrak ini merupakan projek pusat data kedua dimenangi oleh Bahagian Kejuruteraan AWC bagi tahun kewangan 2026 (FY26), sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam segmen tersebut.
“Ini menunjukkan kami semakin membina rekod prestasi kukuh dalam ruang ini serta berada pada kedudukan baik untuk merebut peluang daripada pertumbuhan pesat industri pusat data,” katanya.

Sehingga kini, jumlah kontrak yang dimenangi oleh kumpulan bagi FY26 mencecah kira-kira RM472 juta.
Pada masa sama, buku tempahan kumpulan setakat 31 Disember 2025 berada pada paras RM910 juta, memberikan keterlihatan pendapatan yang sihat bagi tahun-tahun akan datang.
Dalam pada itu, AWC berkata pihaknya kekal berhati-hati terhadap perkembangan global termasuk ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan perubahan dasar tarif yang boleh memberi kesan kepada harga minyak, aliran perdagangan serta sentimen pelabur.- DagangNews.com








