KUALA LUMPUR 17 Mac — AWC Berhad menerima kontrak daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyediakan perkhidmatan sokongan di Hospital Shah Alam, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Surat penganugerahan (LOA) diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, Ambang Wira Sdn Bhd (AWSB), dengan nilai yuran perkhidmatan kontrak sebanyak RM26.14 juta, termasuk cukai perkhidmatan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata kontrak baharu tersebut melibatkan tempoh kerja selama satu tahun yang sudah bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2026.
"AWSB menyediakan perkhidmatan sokongan di Hospital Shah Alam sejak 1 Januari 2021, dan kontrak ini merupakan sambungan kepada perkhidmatan sedia ada yang ditawarkan oleh syarikat," jelasnya.

Sementara itu, pengurusan AWC berkata, kontrak daripada KKM berkenaan dijangka memberi sumbangan yang positif kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Tambahnya lagi, risiko yang terlibat dalam kontrak tersebut adalah risiko operasi biasa, sama seperti projek penyelenggaraan yang pernah dilaksanakan oleh kumpulan berkenaan sebelum ini.
Jelasnya, Lembaga Pengarah AWC turut berpendapat penerimaan kontrak tersebut adalah dalam perjalanan biasa perniagaan dan merupakan langkah yang terbaik demi kepentingan syarikat.
"Kumpulan ini turut memaklumkan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak dalam kontrak tersebut," katanya. - DagangNews.com








