Avangaad kekalkan momentum pertumbuhan, buku tempahan cecah RM445 juta pada 1QFY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Avangaad kekalkan momentum pertumbuhan, buku tempahan cecah RM445 juta pada 1QFY2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei – Avangaad Berhad terus menunjukkan momentum pertumbuhan apabila mencatat peningkatan ketara dalam keterlihatan pendapatan menerusi buku tempahan yang kini mencecah RM445.5 juta setakat 31 Mac 2026.

 

Daripada jumlah tersebut, RM183.7 juta merupakan kontrak yang sudah dimeterai, manakala RM261.8 juta lagi terdiri daripada kontrak pelanjutan opsyen yang memberi visibiliti tambahan kepada pendapatan masa depan kumpulan.

 

Avangaad berkata peningkatan sebanyak RM22.2 juta berbanding akhir tahun kewangan FY2025 itu disokong oleh strategi pengukuhan kontrak secara agresif dalam segmen operasi kapal sokongan luar pesisir (OSV) dan perkhidmatan marin pelabuhan.

 

Kumpulan turut menjelaskan bahawa sebahagian besar tempahan yang diperolehi adalah susulan kemenangan dan pelanjutan beberapa kontrak baharu yang melebihi RM60 juta sepanjang suku pertama FY2026.

 

“Semakan semula tempoh kontrak teras turut menyumbang tambahan RM49.3 juta kepada aliran kontrak berpotensi tinggi dalam buku tempahan syarikat.

 

“Dalam tempoh sama, Avangaad turut memperoleh tiga kontrak utama termasuk kontrak sewaan kapal tanpa kru selama 24 bulan bernilai RM5.37 juta.

 

“Selain itu, kumpulan turut memperoleh kontrak sewaan jangka pendek bernilai RM504,000 serta pelanjutan kontrak kapal FCB selama 270 hari bernilai RM5.26 juta,” katanya.

 

Pengukuhan buku tempahan ini memberi asas pendapatan yang lebih stabil kepada operasi marin pelabuhan, di samping menyokong penggunaan aset kapal yang lebih optimum.

 

Selain pertumbuhan tempahan, kumpulan turut merekodkan peningkatan keuntungan apabila untung selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) naik 9% kepada RM5.1 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.

 

Hasil kumpulan turut meningkat 4% kepada RM31.3 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 17% kepada RM6.4 juta, disokong kecekapan operasi dan kawalan kos yang lebih ketat.

 

Kedudukan kewangan turut bertambah kukuh dengan aliran tunai operasi sebanyak RM13.3 juta, tunai meningkat kepada RM53.5 juta serta hutang yang menurun kepada RM71.5 juta.

 

Nisbah gearing bersih turut bertambah baik kepada 0.05x berbanding 0.08x sebelum ini, mencerminkan pengurangan risiko kewangan dan struktur modal yang lebih sihat.

 

Melangkah ke hadapan, Avangaad Berhad kekal memberi tumpuan kepada pengoptimuman armada, pengukuhan kontrak sedia ada serta pengembangan peluang sewaan jangka pendek dan panjang bagi mengekalkan momentum pendapatan sepanjang FY2026. - DagangNews.com