KUALA LUMPUR 4 Julai — Aumas Resources Berhad berjaya memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa bagi memulakan semula operasi loji pemprosesan emas utamanya di Tawau, Sabah.
Perintah disemak yang bertarikh 1 Julai 2025 itu dikeluarkan oleh ketua pemeriksa lombong di Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, serta menarik balik penggantungan separa dikenakan sebelum ini.
Syarikat perlombongan emas berpangkalan di Sabah itu, sebelum ini dikenali Bahvest Resources Berhad sebelum pertukaran namanya diluluskan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 8 November 2024.
"Perintah ini memberi kuasa kepada anak syarikat Aumas, Wullersdorf Resources Sdn Bhd, menyambung semula operasi penuh perlombongan," kata kumpulan itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun ia tertakluk kepada syarat tertentu, termasuk langkah jangka panjang peringkat dua dalam tempoh satu bulan dan pemantauan berterusan kualiti air di tempat pensampelan ditetapkan.
Terdahulu, Aumas memperoleh injunksi 'ex-parte' atau sebelah pihak daripada Mahkamah Tinggi melarang bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Lo Fui Ming mengganggu kemudahannya di Tawau.
Ia menghalang beliau dan Southsea Gold Sdn Bhd, sebuah syarikat 75 peratus dimilikinya, daripada menghalang kerja-kerja pengubahsuaian pada sistem saliran perimeter kemudahan simpanan Aumas.
Fui Ming yang merupakan pengasas Aumas, meletak jawatan pada pertengahan 2023 ketika pelbagai cabaran, termasuk perebutan lembaga pengarah, serbuan pihak berkuasa dan penghentian perlombongan.
Beliau adalah salah seorang daripada tiga pengarah, termasuk anaknya, Lo Tek Yong, dan Pengerusi Bukan Eksekutif, Datuk Seri Dr Md Kamal Bilal, yang meletak jawatan secara mengejut pada tahun berkenaan.
Mereka bertindak drastik sedemikian sebelum mesyuarat agung luar biasa kumpulan itu, berikutan hasrat sebahagian besar pemegang saham Aumas sendiri untuk menyingkirkan ketiga-tiga individu tersebut.
Ditubuhkan pada 2004 sebagai Borneo Aqua Harvest Berhad, lombong emas syarikat ini terletak di Tawau dengan berkeluasan 317.7 hektar dan tempoh pajakan yang berakhir pada 30 September 2048.
Pada Oktober 2024, kumpulan berkenaan memeterai perjanjian prospek eksklusif dan kontrak kerja dengan Aurelius Borneo Mining Sdn Bhd, untuk terlibat dalam aktiviti perlombongan emas di Sabah.
Kerjasama itu termasuk meneroka, mengambil sampel, dan menggerudi bijih yang mengandungi emas di Gunung Andrassy di Tawau merangkumi kawasan seluas 18,000 hektar. - DagangNews.com








