KUALA LUMPUR 19 Mei — Astaka Holdings Limited bersama rakan usaha sama (JV), Kimlun Corporation Berhad bakal menyiapkan projek servis apartmen, Arden, yang merupakan sebahagian daripada Fasa 3 pembangunan utama kumpulan itu dikenali sebagai One Bukit Senyum.
Ia berkata, projek hartanah itu dirancang sebagai mercu tanda antarabangsa dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan ketinggian 68 tingkat atau 260 meter dari paras tanah, yang turut menjadikannya bangunan kedua paling tinggi di kawasan Johor Bahru.
Kumpulan ini juga katanya, adalah pemaju kepada bangunan tertinggi di Johor Bahru, The Astaka, yang siap pada 2018 sebagai sebahagian Fasa 1 One Bukit Senyum, manakala Arden merupakan pembangunan pegangan bebas dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM800 juta.
"Ia merangkumi sejumlah 618 unit kediaman servis premium dengan saiz binaan unit adalah antara 797 sehingga 1,700 kaki persegi yang akan dijual pada harga sekitar RM1,300 sehingga RM1,500 bagi setiap kaki persegi," katanya dalam satu kenyataan.
Projek yang menawarkan kemudahan setaraf hotel dengan kira-kira 50 kemudahan ini dijangka siap pada 2030, dan menyasarkan untuk merealisasikan visi kumpulan itu dalam membentuk mercu tanda ikonik serta akan mengubah imej landskap Johor.
Astaka dan rakan JV itu turut telah melantik GDP Architects Sdn Bhd, firma ternama di sebalik pembangunan hartanah terkenal seperti Pavilion Kuala Lumpur, Tun Razak Exchange (TRX) Residence, EQ Hotel Kuala Lumpur, dan The Astaka.
Selain itu, Arden memperkenalkan model Pengurusan Penginapan Hotel Bersepadu, yang membolehkan pemilik unit dan pelabur memaksimumkan hasil sewaan menerusi penginapan jangka pendek, manakala pembeli boleh mendapat akses perkhidmatan menyeluruh.
Ini termasuk pembersihan dan penyelenggaraan oleh operator profesional, serta lobi berasingan untuk tetamu, menerima sambutan positif pembeli asing yang mahu unit mereka dijadikan rumah percutian dan menjana pendapatan pasif semasa tiada.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Mohd Haffiz Ahmad ketika menyempurnakan pada majlis pecah tanah pembinaan pada hari ini berkata, Arden bakal menjadi tambahan luar biasa kepada landskap langit Johor Bahru.
"Ia bukan sekadar pencakar langit, tetapi simbol pertumbuhan pesat dan komitmen kita menjadi bandar bertaraf dunia, malah sebagai projek utama pertama selepas penubuhan JS-SEZ, Arden mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi bandar ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Astaka, Allen Khong berkata, selepas pelancaran rasmi Arden pada Mac 2025, beliau amat teruja untuk memulakan pembinaan pembangunan ikonik ini bersama Kimlun.
"Kami berbangga berkongsi kejayaan dan projek ini menyatukan dua pemain hartanah terkemuka dari Johor yang komited terhadap pembangunan bertaraf dunia serta memberikan nilai luar biasa kepada penduduk. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Johor dan MBJB atas sokongan mereka dalam menjayakan projek ini,” katanya. - DagangNews.com








