KUALA LUMPUR 4 Mac — Anak syarikat milik penuh pemaju hartanah, Asian Pac Holdings Berhad, Primadana Utama Sdn Bhd mengambil alih Jaya Shopping Centre di Petaling Jaya, Selangor, dengan bayaran tunai sebanyak RM100 juta.
Menurut makluman difailkan kepada Bursa Malaysia, kompleks beli-belah setinggi tujuh tingkat itu meliputi kawasan berkeluasan anggaran 92,712 kaki persegi (kira-kira 8,613 meter persegi), termasuk tingkat bawah bawah.
Gedung perniagaan tersebut turut mengandungi empat tingkat lagi untuk kawasan tempat letak kereta bawah tanah dengan sejumlah 786 ruang petak selain mempunyai kadar penghunian tinggi mencecah sebanyak 78 peratus.
Penjual premis beli-belah ikonik di bandar raya berkenaan ialah Jaya Section Fourteen Sdn Bhd, dengan Pengarahnya terdiri daripada Hooi Pik Ling, Amy Ng Lee Hoon, Sim Sin Ying, Wan Kwong Weng dan Wong Su Cheng.
Asian Pac berkata, pihaknya akan membiayai urus niaga pembelian bangunan tersebut melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank. Bagaimanapun pecahannya itu belum lagi dimuktamadkan.
Berikutan pengambilalihan tersebut, kawasan bersih penyewaan runcit kumpulan itu akan meningkat kepada 996,207 kaki persegi (92,551 meter persegi) daripada hanya 728,094 kaki persegi (67,642 meter persegi).
Pada masa ini, ia telah memiliki Imago KK Times Square Shopping Mall di Kota Kinabalu, Sabah yang setinggi empat tingkat dan dibuka sejak 2015 dengan dikendalikan oleh subsidiarinya, Syarikat Kapasi Sdn Bhd.
Sementara itu, Asian Pac menjelaskan bahawa cadangan pengambilalihan Jaya Shopping Centre itu sejajar dengan strategi pelaburan dalam pusat beli-belah runcit, dengan objektif meningkatkan pendapatan hartanah bersih.
“Langkah ini bukan sahaja akan menyediakan aliran pendapatan berulang yang sedia ada kepada syarikat tetapi juga membolehkan kumpulan ini mampu mewujudkan kehadiran di lokasi di luar operasi sedia ada.
"Pusat beli-belah ini terletak secara strategik di tengah-tengah pelbagai pinggir bandar yang mewah di Petaling Jaya dan boleh diakses melalui jalan raya dan lebuh raya utama, meningkatkan keselesaan dan trafik pejalan kaki.
"Ia dijangka menyumbang kepada potensi sebagai destinasi runcit utama. Berdasarkan perkara itu, Lembaga Pengarah optimis terhadap prospek cadangan pengambilalihan untuk meningkatkan prestasi kewangan kumpulan,” tambahnya.
Sehingga 31 Disember 2024, kumpulan tersebut mempunyai simpanan wang tunai dan baki bank sebanyak RM59.51 juta, dengan pinjaman jangka pendek RM223.34 juta dan pinjaman jangka panjang RM279.03 juta.
Malahan ia menjangka pendapatan bersihnya bakal meningkat kepada sebanyak 0.6 kali daripada hanya 0.51 kali selepas pemerolehan pusat beli-belah berkenaan. - DagangNews.com








