KUALA LUMPUR 29 Jan – Prestasi kukuh CapitaLand Malaysia Trust pada suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4QFY2025) disokong oleh pendapatan runcit yang stabil serta sumbangan semakin ketara daripada aset industri dan logistik baharu seperti Senai Airport City dan Synergy Logistics Hub,” kata Maybank Investment Bank.
Firma penyelidikan itu berkata hasil CapitaLand meningkat 3.9% YoY kepada RM124.6 juta, manakala pendapatan bersih hartanah (NPI) melonjak 12.4% YoY kepada RM81.5 juta berikutan kawalan kos yang lebih ketat dan pengurangan utiliti.
Pendapatan boleh diagihkan (distributable income) 4QFY25 meningkat 20.1% YoY kepada RM42.3 juta, manakala FY25 mencatat peningkatan hasil 4.8% YoY dan NPI naik hampir 10% YoY.
Kadar penghunian portfolio kekal sihat pada 94.9%, dengan kadar penghunian runcit melebihi 93%.
Maybank IB menjangka CapitaLand mencatat DPU bersih FY26 sebanyak 4.6 sen dengan hasil bersih 6.9%, meningkat secara beransur kepada 4.7 sen (7.0%) pada FY27 dan 4.9 sen (7.3%) pada FY28.
“Lonjakan ini dijangka disokong oleh sumbangan penuh daripada aset industri dan logistik baharu serta momentum penyewaan yang positif di pusat beli-belah utama.
ARTIKEL BERKAITAN:Pendapatan bersih hartanah CapitaLand bagi 4QFY25 cecah RM81.5 juta didorong segmen industri
“Pengurusan juga merancang untuk menambah pendedahan industri serta logistik kepada kira-kira 20% daripada portfolio menjelang 2028, dengan lima kilang industri berteknologi tinggi di i-TechValley, Iskandar Puteri dijangka siap secara berperingkat antara 1Q27 hingga 1Q28.
“Aktiviti pengubahsuaian aset di The Mines, 3 Damansara, dan Gurney Plaza turut dijangka memperkukuh campuran penyewa dan meningkatkan aliran pendapatan,” katanya.
Sehubungan itu, Maybank IB mengekalkan cadangan Beli dan menaikkan harga sasaran daripada RM0.76 kepada RM0.79.
Bagi FY26, firma tersebut menjangkakan CapitaLand terus stabil disokong oleh kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka meningkatkan kunjungan ke pusat beli-belah yang berkaitan pelancongan seperti Pulau Pinang, Kuantan dan Sungei Wang.
“Secara keseluruhan, FY25 menunjukkan kombinasi pendapatan yang lebih baik, pengurusan kos yang cekap, dan portfolio yang semakin terdiversifikasi. Pulangan bersih dijangka menarik dengan hasil bersih FY26E sekitar 6.9%.
“Dengan langkah strategik menambah aset industri/logistik serta prestasi runcit yang mantap, CapitaLand dijangka kekal sebagai REIT pilihan pelabur yang mencari dividen stabil dan pertumbuhan jangka panjang,” katanya. - DagangNews.com








