KUALA LUMPUR 28 Jan – CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) mencatatkan peningkatan pendapatan bersih hartanah (NPI) sebanyak 12.4% kepada RM81.5 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025.
Menurut kumpulan berkenaan, prestasi teguh itu didorong terutama oleh sumbangan daripada segmen hartanah industri dan logistik yang baru diperoleh serta hasil lebih tinggi menerusi portfolio runcit.
Situasi tersebut khususnya melibatkan Queensbay Mall di Pulau Pinang dan East Coast Mall di Pahang, dengan pendapatan keseluruhan boleh diagihkan turut meningkat kira-kira 20.1% kepada RM42.3 juta.
"Sementara agihan seunit naik 4.1% kepada 1.27 sen berbanding 1.22 sen pada 4QFY24, manakala
hasil kasar menokok 3.9% kepada RM124.6 juta bagi tempoh itu," maklum CLMT kepada Bursa Malaysia.
Bagi tahun kewangan penuh 2025, NPI kumpulan berjumlah RM289.4 juta, iaitu peningkatan 9.7% berbanding FY24, dengan pendapatan boleh agih tahunan pula meningkat 12.3% kepada RM149.2 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd (CMRM), Yong Su-Lin berkata, 2025 merupakan tahun mercu tanda bagi CLMT dengan penyempurnaan pemerolehan tujuh lagi hartanah.
Ia melibatkan industri dan logistik di Lembah Klang dan Johor yang keseluruhannya bernilai RM279 juta, dengan pemerolehan ini merupakan langkah terbesar sejak peluasan mandat pelaburan pada 2021.
"Kami menjangka aset ini dapat menyumbang secara positif kepada pendapatan pada FY26," katanya dalam satu kenyataan. Setakat 31 Disember 2025, nilai keseluruhan portfolio CLMT meningkat 7.0%.
Angkanya jelas Su-Lin, mencecah RM5.5 bilion, disumbangkan oleh pemerolehan aset baharu seperti Senai Airport City Facilities, Synergy Logistics Hub, dan Iskandar Puteri Facilities di Johor.
CLMT tambah beliau, turut mengumumkan cadangan pemerolehan lima hartanah industri di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bernilai RM220.8 juta bagi memperkukuhkan kedudukan di negeri itu.
Dari aspek runcit, portfolio CLMT kekal berdaya tahan dengan kadar penghunian 93.7%, dan syarikat juga mencatatkan pengembalian sewa positif sebanyak 12.2% bagi FY25 melalui pengurusan aset.
"Langkah proaktif menerusi pengenalan konsep gaya hidup baharu di pusat beli-belah seperti Gurney Plaza di Pulau Pinang dan The Mines di Selangor, turut menyumbang hasil yang baik," tambah Su-Lin.
Setakat akhir 2025, CLMT mengekalkan modal kukuh dengan nisbah gearan 39.0%, dan 84% daripada jumlah pinjaman adalah pada kadar faedah tetap bagi mengurangkan risiko turun naik pasaran. - DagangNews.com








