Aset industri kewangan Islam global diunjur cecah RM32.21 trilion pada 2028, kata Standard Chartered | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aset industri kewangan Islam global diunjur cecah RM32.21 trilion pada 2028, kata Standard Chartered

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Mei — Aset dalam industri kewangan Islam global dijangka mencecah AS$7.5 trilion (kira-kira RM32.21 trilion) menjelang 2028, melonjak berbanding AS$5.5 trilion (RM23.62 trilion) pada 2024, kata Standard Chartered.


Kumpulan perbankan tersebut berkata, industri kewangan Islam sudah melepasi AS$5 trilion (kira-kira RM21.47 trilion) dalam aset antarabangsanya pada 2024, meningkat 12 peratus berbanding 2023 dan lonjakan 43 peratus daripada 2020.


Perbankan Islam menyumbang lebih 70 peratus daripada keseluruhan aset kewangan Islam, dengan aset perbankannya diunjur berkembang daripada AS$4 trilion (RM17.18 trilion) pada 2024 kepada AS$5.2 trilion (RM22.33 trilion) pada 2028.


Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Saadiq Malaysia, Bilal Parvaiz berkata, perkembangan positif tersebut mencerminkan sifat relevan kewangan patuh syariah yang semakin berkembang di peringkat global sendiri.


“Dengan Malaysia menjadi antara lima peneraju utama dalam aset kewangan Islam, yang diunjurkan menyaksikan peningkatan 36 peratus menjelang 2028, perbankan Islam memasuki fasa pertumbuhan baharu," katanya dalam satu kenyataan.


Ia juga kata beliau, mencerminkan asas kukuh dan selera global untuk kewangan beretika serta inklusif, dan sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global yang memperjuangkan pembangunan dan inovasi kewangan Islam.


Ini tambah Parvaiz, terutama dalam menyepadukan amalan kewangan dengan impak secara mampan dan beretika melalui pengantaraan berasaskan nilai.


Laporan terkini itu meliputi landskap kewangan Islam dan cerapan tinjauan pelanggan 'Pulse of Islamic Banking' dengan mengkaji pemacu pertumbuhan, perkembangan kawal selia, dan peluang pengembangan sambil menangani cabaran dalam peraturan, kecairan dan pengurusan risiko.


Ia juga meneroka rangka kerja pengawasan pasaran, laluan inovasi dan integrasi amalan alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG), ditambah dengan sorotan pasaran yang menampilkan kajian kes penyelesaian dunia sebenar.


Sebagai sebuah bank antarabangsa dengan francais perbankan Islam global, Standard Chartered Saadiq, menawarkan rumusan patuh syariah kepada institusi kewangan, korporat, runcit serta segmen pelanggan perbankan swasta di seluruh Asia dan Afrika. - DagangNews.com