KUALA LUMPUR 10 April – Arka Berhad melupuskan 40% kepentingan dalam syarikat sekutunya, Enfrasys Solutions Sdn Bhd kepada Joy Jewel Sdn Bhd dengan pertimbangan harga tunai sebanyak RM43 juta.
Kumpulan berkenaan memeterai perjanjian jual beli saham (SPA) yang melibatkan 800,000 saham biasa, dan apabila transaksi tersebut selesai, Enfrasys bukan lagi akan menjadi syarikat sekutu bagi Arka.
Langkah pelupusan ini dijangka membolehkan Arka merealisasikan nilai pelaburannya pada nilai pasaran saksama, sekali gus membuka peluang kepada kumpulan mencairkan pelaburan bukan teras.
"Pelaburan dalam Enfrasys dianggap sebagai pelaburan pasif memandangkan Arka memegang kepentingan bukan kawalan terhad dari segi hala tuju strategik dan keputusan operasi," maklumnya kepada bursa.
Berdasarkan keputusan kewangan teraudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, cadangan pelupusan ini dijangka memberikan keuntungan pro forma kira-kira RM9.1 juta kepada kumpulan tersebut.
Jelasnya, Enfrasys yang terlibat dalam perniagaan latihan dan perundingan teknologi maklumat (IT) mencatatkan prestasi kukuh dengan hasil RM250.7 juta dan keuntungan bersih RM18.3 juta bagi FY24.
Mengenai penggunaan hasil pelupusan, Arka bercadang memperuntukkan dana tersebut antaranya untuk pengembangan bahagian logistik termasuk pembelian kenderaan motor baharu dan perolehan gudang.
"Ia dijangka membabitkan kos sebanyak RM13.0 juta (30.2%) manakala RM10.0 juta (23.3%) pula bagi potensi pelaburan masa hadapan untuk melengkapkan perniagaan yang sedia ada," jelas kumpulan itu.
Sementara itu, kira-kira RM17.35 juta (40.3%) sebagai modal kerja am bagi menampung kos operasi harian, dan RM2.65 juta (6.2%) untuk anggaran perbelanjaan berkaitan cadangan pelupusan tersebut.
Langkah ini dilihat selaras usaha rasionalisasi portfolio berterusan Arka bagi membolehkan sumber kewangan diagihkan cekap ke arah segmen logistik yang sejajar objektif strategik jangka panjang.
Bagaimanapun katanya, urus niaga itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan pihak berkuasa berkaitan, dengan cadangan pelupusan ini dijangka siap menjelang suku kedua tahun kewangan 2026.
Firma M&A Securities Sdn Bhd dilantik secara rasmu oleh kumpulan berkenaan sebagai penasihat utama bagi cadangan transaksi pelupusan syarikat sekutu tersebut. - DagangNews.com








