KUALA LUMPUR 10 Sept – DXN Holdings Bhd menjelaskan pembelian unit apartmen di menara ikonik Burj Khalifa, Dubai adalah sebahagian daripada skim motivasi jualan syarikat itu bagi menghargai pengedar yang mencapai prestasi jualan cemerlang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat jualan langsung itu berkata unit apartmen seluas 1,888 kaki persegi di tingkat 60 Burj Khalifa akan digunakan untuk menempatkan pengedar yang mencapai sasaran jualan dan prestasi tertentu.
Tempoh penginapan boleh ditebus menerusi mata ganjaran yang dikumpul daripada nilai jualan.
DXN menyatakan bahawa pembelian unit tersebut adalah sebahagian daripada strategi pemasaran syarikat dan bertujuan memperkukuh penglibatan ahli, di samping menjimatkan kos jangka panjang memandangkan syarikat boleh menggunakan fasiliti sendiri untuk penginapan pengedar.
Minggu lalu, DXN mengumumkan pembelian hartanah tersebut pada harga 6.4 juta dirham Emiriah Arab Bersatu (bersamaan RM7.37 juta) secara tunai.
Urus niaga itu diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan kerana penjual merupakan Pengerusi Eksekutif dan pemegang saham utama DXN, Datuk Lim Siow Jin.
Menurut DXN, pengedarnya telahpun menggunakan unit apartmen itu secara tidak rasmi semasa lawatan ke Dubai untuk latihan kepimpinan dan sesi jaringan perniagaan.
Kini, pembelian tersebut akan memastikan akses jangka panjang dan mengintegrasikan penggunaan unit tersebut secara rasmi dalam program insentif dan gaya hidup syarikat seperti Seminar Insentif Pelancongan.
Syarikat itu turut menyatakan bahawa pembelian hartanah ini sejajar dengan pendekatan syarikat yang sebelum ini telah mewujudkan fasiliti berfokuskan ahli seperti Boulder Valley Glamping di Pulau Pinang dan DXN Cyberville di Cyberjaya, yang juga digunakan untuk menganjurkan program motivasi jualan.
Sehingga Jun lalu, DXN mencatatkan keahlian berdaftar seramai 20.11 juta individu di seluruh dunia, dengan 4.30 juta daripadanya adalah ahli aktif.
Golongan pengedar ini menjadi tulang belakang kepada model jualan langsung DXN dalam memasarkan produk kesihatan dan kesejahteraannya.
Saham DXN, yang telah susut hampir 2% setakat tahun ini, ditutup pada 50 sen sesaham, memberikan nilai pasaran syarikat sebanyak RM2.49 bilion. - DagangNews.com








