KUALA LUMPUR 28 Okt - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarahkan supaya membuka siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berikutan gangguan yang melibatkan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata MAHB, sebagai pengendali Aerotrain, mesti dipertanggungjawabkan untuk memastikan perkhidmatan beroperasi dengan lancar dan memenuhi piawaian yang diperlukan.
Beliau berkata, walaupun kementerian sebelum ini telah memberikan sedikit kelonggaran kepada MAHB semasa fasa awal operasi, masa untuk berlembut telah tamat.
“Memandangkan Aerotrain telah beroperasi selama beberapa bulan sekarang, kementerian, melalui Apad, akan mengambil tindakan tegas terhadap MAHB bagi setiap gangguan perkhidmatan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Loke, lesen operasi MAHB memerlukan syarikat itu untuk mengekalkan tahap perkhidmatan yang memuaskan bagi penumpang.
“Di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, sebarang pelanggaran syarat lesen boleh mengakibatkan kompaun sehingga RM250,000 bagi setiap kesalahan,” tegas beliau.
Pada 22 Okt, MAHB menyatakan mereka bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan APAD dalam semakan gangguan perkhidmatan Aerotrain baru-baru ini di KLIA Terminal 1.
MAHB mengumumkan bahawa KLIA memberikan APAD dokumentasi teknikal dan data yang lengkap, termasuk maklumat berkaitan insiden perkhidmatan sejak sistem Aerotrain mula ditauliahkan pada 1 Julai 2025.
Sejak mula beroperasi, terdapat tiga insiden (pada 12 Julai, 3 Sept, dan 15 Okt) di mana perkhidmatan Aerotrain terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
Sementara itu MAHB dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerosakan sistem bekalan kuasa punca gangguan perkhidmatan aerotrain di KLIA awal pagi.
Menurut MAHB, insiden serupa berkaitan sistem kuasa, yang berada di bawah tanggungjawab kontraktor IJM-Pestec Joint Venture (IPJV), juga telah menyebabkan gangguan perkhidmatan aerotrain pada 15 Okt.
MAHB menambah bahawa Alstom, peneraju projek aerotrain serta IPJV, dijangka menyediakan laporan terperinci dan penjelasan berhubung kedua-dua insiden tersebut.
“Malaysia Airports terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan tindakan pembetulan dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan,” katanya.
Walaupun berlaku gangguan, MAHB memberi jaminan bahawa operasi di KLIA kekal berjalan lancar sepanjang tempoh kritikal itu, dengan merekodkan 530,000 pergerakan penumpang dan 3,400 penerbangan bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
“Langkah proaktif telah diaktifkan untuk mengurangkan sebarang kesan, termasuk menempatkan sumber khusus dan kontraktor aerotrain di lokasi sepanjang masa bagi memastikan pergerakan penumpang berjalan lancar,” katanya lagi. - DagangNews.com








