KUALA LUMPUR 3 Mac – Aonic, syarikat teknologi dron yang diasaskan di Malaysia dan beroperasi di seluruh Asia Tenggara, mengumumkan kejayaan memperoleh pendanaan Siri A bernilai AS$10 juta.
Pendanaan ini diketuai oleh Kairous Capital dengan sokongan Jelawang Capital dan Dana Nasional “Fund-of-Funds” Malaysia, di bawah Program Pengurus Dana Baru.
Pelaburan ini akan digunakan untuk mempercepat pengembangan operasi serantau dan antarabangsa, memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta meningkatkan kapasiti pengeluaran dron dan perisian yang dibangunkan di Malaysia.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aonic, Cheong Jin Xi berkata pendanaan ini akan menyokong fasa pengembangan seterusnya yang telah dirancang.
Cheong berkata Kairous Capital adalah rakan strategik yang selari dengan visi jangka panjang Aonic, bukan sahaja melalui sokongan modal tetapi juga kepakaran membimbing syarikat ke peringkat global dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Aonic kini memperluas sistem yang telah terbukti berkesan, membina keupayaan kejuruteraan, pembuatan, dan operasi secara bersepadu untuk memastikan setiap sistem bersedia digunakan di lapangan.
“Aonic menyediakan perkhidmatan dron menyeluruh bagi sektor pertanian dan perindustrian, menggantikan kaedah penyemburan manual yang intensif dan berisiko tinggi.
“Berdasarkan data dalaman, dron pertanian Aonic terbukti meningkatkan pendapatan petani sebanyak 50 peratus, hasil ladang meningkat sekitar 54 peratus, dan penggunaan air berkurang kira-kira 75 peratus berbanding kaedah manual,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk memacu pertumbuhan berskala besar, Aonic membangunkan ekosistem bersepadu yang merangkumi reka bentuk dan pengeluaran dron serta perisian sendiri, latihan, pelan pembiayaan fleksibel dan rangkaian bekalan input pertanian.
Sokongan ini disalurkan melalui lebih daripada 50 pusat 3S (Jualan, Servis, Bekalan Alat Ganti) di Asia Tenggara.
Dron Aonic kini digunakan secara meluas di Malaysia dan Thailand, khususnya dalam operasi penyemburan ladang dan estet.
Sementara itu Rakan Kongsi Kairous Capital, Adrian Hia berkata Aonic merupakan antara syarikat berpangkalan di Malaysia yang mampu beroperasi pada skala serantau.
“Pasukan Aonic menggabungkan keupayaan teknikal mendalam, pelaksanaan operasi dan disiplin kewangan kukuh, menghasilkan kesan yang terbukti kepada petani,” katanya.
Sejak 2022, Aonic mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) tiga angka, dengan hasil tahunan melebihi AS$60 juta.
Syarikat juga telah mencatat keuntungan sejak 2023, mencerminkan pelaksanaan yang berdisiplin dan model operasi yang mampu diperluas ke skala lebih besar.
Selain pengembangan global, Aonic terus memainkan peranan dalam memodenkan sektor pertanian Malaysia melalui skim pembiayaan fleksibel Aonic Flex, latihan pensijilan Drone Academy Asia, dan rangkaian bekalan input pertanian.
Inisiatif ini bertujuan memperkasa pekebun kecil dan pengusaha ladang berskala besar untuk mengadaptasi penggunaan teknologi dron dengan kos permulaan yang lebih rendah serta peningkatan produktiviti. - DagangNews.com








