KUALA LUMPUR 11 Mac – Ann Joo Resources Berhad melalui anak syarikatnya, Gurun Heavy Industrial Park Sdn. Bhd. (GHIP) menjual sebahagian tanah industri di Gurun kepada LB Advanced Material Asia Sdn. Bhd dengan harga RM117.8 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata tanah yang dijual ialah seluas kira-kira 60.1 ekar (24.33 hektar), sebahagian daripada tanah pembangunan seluas 96.87 ekar (39.2 hektar) yang dimiliki oleh GHIP di Taman Perindustrian Gurun.
“Harga jualan tanah ditetapkan pada kira-kira RM45 setiap kaki persegi. Pembayaran akan dilakukan secara ansuran mengikut tahap pencapaian tertentu, termasuk penyiapan bekalan air, telekomunikasi, jalan dan sistem perparitan serta pengeluaran hak milik baru untuk tanah tersebut,” katanya dalam makluman tersebut.
GHIP dijangka menerima kira-kira RM65.4 juta daripada hasil jualan tanah tersebut, yang akan digunakan untuk membayar hutang syarikat sebanyak RM35 juta dan baki RM30.4 juta bagi modal kerja serta keperluan operasi lain.
LB Advanced Material Asia adalah syarikat baru yang ditubuhkan pada 17 September 2025 dengan modal berbayar RM21 juta.
Menurut Ann Joo, jualan sebahagian tanah ini adalah sebahagian daripada strategi pembangunan bersama di Taman Perindustrian Gurun yang membolehkan syarikat menjana aliran tunai dan pendapatan secara berperingkat daripada tanah industri mereka.
Transaksi jualan tanah ini tidak memberi kesan kepada pegangan saham utama atau modal syarikat, dan dijangka tidak menjejaskan aset bersih, nisbah hutang atau pendapatan sesaham untuk tahun kewangan 2026.
Transaksi ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham kerana nilai jualan adalah di bawah ambang Bursa Malaysia dan tidak tergolong sebagai transaksi utama atau berkaitan pihak berkepentingan.
Walau bagaimanapun, kelulusan pejabat tanah diperlukan bagi proses pecahan hak milik dan pertukaran kepada hak milik pajakan 99 tahun.
Tempoh siap jualan dijangka mengambil masa sehingga 15 bulan dari tarikh perjanjian jual beli pada 10 Mac 2026, tertakluk kepada kelulusan dan pematuhan syarat-syarat SPA, termasuk pemberian hak milik baru dan kelulusan seksyen 433B di bawah Kanun Tanah Negara.
Jika berlaku kegagalan memenuhi syarat atau perkara luar jangka seperti bencana, SPA membenarkan pembatalan atau tuntutan pampasan. - DagangNews.com








