KUALA LUMPUR 5 Mac — InNature Berhad menerusi anak syarikatnya, Hello Natural Singapore Pte Ltd dilantik sebagai pengedar eksklusif produk kecantikan berasaskan botani, Yves Rocher di Singapura
Kumpulan tersebut yang merupakan operator rangkaian kedai The Body Shop berkata perjanjian dimeterai pada 4 Mac 2026 antara subsidiari berkenaan dan Laboratoires De Biologie Vegetale Yves Rocher.
Menurutnya, ia memberi hak kepada anak syarikatnya mengedar serta menyediakan perkhidmatan dan produk jenama Yves Rocher di Singapura bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pemeteraian.
“Bagaimanapun perjanjian ini masih boleh diperbaharui sekali lagi untuk tambahan selama lima tahun selepas tempoh asal tamat,” kata InNature dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat itu menambah, kerjasama tersebut dijangka menyumbang kepada pendapatan dan keuntungan masa hadapan kumpulan sebaik sahaja operasi perniagaan oleh Hello Natural Singapore bermula.
Pada masa sama, kumpulan berkenaan menjelaskan yang perjanjian tersebut tidak tertakluk kepada kelulusan mana-mana pemegang saham atau sebarang keperluan pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan.
Selain itu, InNature menegaskan yang tiada pengarah, pemegang saham utama atau mana-mana pihak berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam perjanjian baharu berkenaan.
"Lembaga pengarah kumpulan ini berpandangan bahawa perjanjian tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan turut tidak menjejaskan kepentingan pemegang saham minoriti," katanya.
Pada 7 November 2025, syarikat itu memuktamadkan pengambilalihan The Body Shop Singapore Pte Ltd bernilai S$2.96 juta (RM9.49 juta) sekali gus menjadikan entiti tersebut sebagai anak syarikatnya.
Langkah InNature itu turut menguasai operasi The Body Shop di Malaysia, Vietnam, Kemboja dan Singapura, serta memperkukuhkan kedudukan strategiknya di rantau Asia Tenggara. - DagangNews.com








