Anak syarikat Eden meterai PPA lanjutkan operasi Loji Janakuasa Libaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat Eden meterai PPA lanjutkan operasi Loji Janakuasa Libaran

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Mac — Anak syarikat Eden Inc Berhad iaitu Stratavest Sdn Bhd (STV) menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang baharu dengan Sabah Electricity Sdn Bhd untuk melanjutkan operasi Loji Janakuasa Libaran.

 

Pemeteraian tersebut menambahkan tempoh perkhidmatannya itu selama dua tahun lagi dan turut meningkatkan kapasiti daripada hanya 30 megawatt (MW) kepada 45 MW untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di Pantai Timur Sabah.
 

Eden menerusi kenyataan berkata, pelanjutan dan peningkatan kapasiti itu dijangka memberi kesan positif kepada prestasi kewangan kumpulan, serta menyumbang pendapatan lebih tinggi dan aset bersih yang lebih kukuh sepanjang tempoh kontrak.


"Menerusi perkembangan baharu ini, perniagaan tenaga yang dilaksanakan Eden kekal sebagai pemacu utama dalam pertumbuhan masa depan kumpulan dan prospek pendapatan jangka panjang," jelasnya.


Penandatanganan PPA yang terkini itu susulan lawatan Suruhanjaya Tenaga Sabah ke Loji Janakuasa Libaran baru-baru ini untuk menilai tahap kesiapsediaan kemudahan dan kebolehpercayaan operasi.


Di bawah terma PPA baharu, dua unit penjanaan pertama berkapasiti 15 MW setiap satu, sudah mula beroperasi pada 28 Februari 2025, dengan memastikan proses peralihan yang lancar dalam bekalan kuasa.


Sementara unit yang ketiga pula katanya, akan menyumbang tambahan sebanyak 15 MW lagi kepada grid, dijadualkan bermula pada 1 September 2025, sekali gus meningkatkan lagi kapasiti penjanaan loji itu.


Bagaimanapun tambah kenyataan tersebut, pihak STV yakin ia mampu mentauliahkan unit ketiga itu lebih awal daripada jadual iaitu menjelang April 2025.


Dengan pembesaran ini, STV akan mengendalikan kemudahan kuasa 45 MW, yang mengukuhkan komitmennya untuk menyampaikan bekalan elektrik lebih stabil dan boleh dipercayai ke seluruh Sabah.


PPA baharu jelasnya, akan terus berkuat kuasa sehingga 27 Februari 2027, dengan turut memastikan peranan STV secara berterusan dalam menyokong infrastruktur tenaga Sabah.


Loji Janakuasa Libaran, yang terletak di Sandakan, adalah satu-satunya pengeluar kuasa bebas di Malaysia yang menggunakan enjin diesel Mitsui-MAN B&W berkelajuan rendah, yang diiktiraf untuk kecekapan tinggi dan kebolehpercayaan jangka panjangnya.


Justeru katanya, lanjutan tempoh ini mengiktiraf kebolehpercayaan loji janakuasa itu, untuk menjadi penyumbang utama kepada bekalan tenaga rantau ini sejak penubuhannya.


Fasiliti berkenaan telah berjaya memenuhi segala kewajipan operasinya di bawah PPA lebih awal 21 tahun, diikuti dengan lanjutan yang berakhir pada 28 Februari 2025.


Eden menyatakan bahawa perjanjian terbaharu itu mengukuhkan lagi komitmennya terhadap keselamatan tenaga Sabah, memastikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai serta stabil untuk memenuhi keperluan penduduk, perniagaan dan pengguna industri.


Kumpulan itu tetap menumpukan usahanya untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan tenaga Sabah, dan untuk tujuan ini ia telah mula meneroka peluang tenaga boleh diperbaharui di negeri itu. - DagangNews.com