Anak syarikat Cape EMS dan GSEA Singapura bekerjasama tingkatkan pengeluaran komponen untuk pelanggan antarabangsa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat Cape EMS dan GSEA Singapura bekerjasama tingkatkan pengeluaran komponen untuk pelanggan antarabangsa

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Mac – Cape EMS Berhad melalui anak syarikatnya di Amerika Syarikat, iConn Inc mengumumkan kerjasama strategik dengan Guardian South East Asia (GSEA), sebuah syarikat pembuatan dari Singapura untuk memperluaskan lagi rangkaian pembuatan komponen berketepatan tinggi untuk pelanggan antarabangsa.

 

GSEA merupakan anak syarikat milik penuh V.S. Industry Berhad, salah satu penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik terkemuka di Asia Tenggara.

 

Perjanjian ini sah untuk tiga tahun dengan pilihan lanjutan sekiranya kedua-dua pihak bersetuju.

 

Melalui perjanjian ini, GSEA kini menjadi rakan pembuatan strategik dalam rangkaian pengeluaran global iConn.

 

GSEA akan menyokong pelbagai program pembuatan termasuk mesin berketepatan tinggi, pembuatan komponen mekanikal, acuan logam dan acuan plastik.

 

Selain itu, GSEA juga akan menyediakan perkhidmatan separa pemasangan komponen, nasihat reka bentuk dan ujian produk, termasuk untuk aplikasi perubatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Cape EMS, Christina Tee Kim Chin berkata kerjasama ini membantu syarikat meningkatkan kapasiti pembuatan komponen berketepatan tinggi tanpa perlu membuat pelaburan besar dalam pembinaan kilang baharu.

 

“Dengan sokongan dua syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, pelanggan antarabangsa kini lebih yakin untuk menjalankan program pengeluaran berskala besar di Asia Tenggara,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif iConn, Turker Hidirlar pula berkata pelanggan di Amerika Syarikat sedang mencari alternatif pengeluaran selain China.

 

“Kerjasama ini membolehkan permintaan tersebut dipenuhi dengan pengeluaran berkualiti tinggi di Asia Tenggara yang diselia melalui sistem pengurusan digital iConn.

 

“Pasukan kejuruteraan iConn juga membantu pelanggan memindahkan pengeluaran dari China ke Asia Tenggara serta menyokong pengenalan produk baharu,” katanya.

 

Setiap projek pengeluaran komponen tertentu akan diurus berdasarkan tempahan mengikut kriterianya dengan keseluruhan operasi dipantau secara digital bagi memastikan kualiti, dokumentasi dan pengurusan program dijalankan dengan telus. - DagangNews.com