AmInvest ramal dividen Kim Loong kukuh lebih 5%, imbangi kenaikan kos baja dan pengangkutan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvest ramal dividen Kim Loong kukuh lebih 5%, imbangi kenaikan kos baja dan pengangkutan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 April – Kenaikan kos operasi termasuk baja dan pengangkutan terus menjadi cabaran utama industri perladangan, namun Kim Loong Resources Berhad dijangka masih berdaya tahan.


AmInvestment Bank dalam nota analisisnya berpandangan, kumpulan tersebut dilihat berupaya kekal menawarkan pulangan dividen yang menarik kepada pelabur dengan jangkaan mampu kukuh melebihi 5%.


Firma penyelidikan berkenaan menambah, perkembangan positif itu disokong kedudukan tunai bersih yang teguh sekitar RM453.5 juta dan berpotensi menambah pendapatan bagi tahun kewangan 2027.


"Justeru kami mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham Kim Loong dengan harga sasaran (TP) RM3.00 sesaham berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 16 kali bagi tahun kalendar 2027," katanya.


Meskipun sedikit rendah berbanding purata lima tahun iaitu 18 kali, AmInvest mengunjurkan dividen sesaham kasar syarikat perladangan itu sebanyak 15 sen bagi FY27, berbanding 14 sen pada FY26.


Perbelanjaan modal (capex) kumpulan itu namun dijangka naik kepada RM85 juta pada FY27 daripada RM42.5 juta sebelumnya, susulan pembinaan kilang minyak sawit berkapasiti 60 tan sejam di Sarawak.


Fasiliti itu ujarnya, dengan kos keseluruhan sekitar RM100 juta, dijadual siap akhir 2027, dan sumbangan pendapatan ke atas Kim Loong daripada kilang tersebut hanya dijangka bermula pada FY29.

 

Kim Loong_DagangNews


"Kami menganggarkan keuntungan kasar mampu mencecah sekitar RM10 juta pada tahun pertama operasi penuh, berdasarkan kadar penggunaan 50% dan margin pemprosesan RM70 setiap tan," jelas AmInvest.


Dalam pada itu tambah firma penyelidikan tersebut, segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) dijangka mencatat pertumbuhan apabila loji biogas 1.5MW di Telupid, Sabah meningkatkan jualan elektrik.


Perkembangan ini didorong penambahbaikan infrastruktur grid termasuk pelaksanaan projek sambungan bekalan antara Sabah-Sarawak, dengan pendapatan biogas diunjur naik 8% kepada RM14 juta pada FY27.


Bagi segmen perladangan, prestasi Kim Loong dijangka disokong harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi pada purata RM4,400 setiap tan pada FY27 berbanding RM4,245 bagi tahun sebelumnya.


"Kami menjangkakan pengeluaran tandan buah segar (TBS) naik sekitar 4%, namun mengingatkan kos pengeluaran dijangka meningkat kepada RM2,100 setiap tan berbanding RM2,000 sebelum ini," katanya.


Pada masa sama ujar AmInvest, faktor struktur seperti profil pokok sawit yang semakin matang turut diambil kira, dengan 44% kawasan tanaman Kim Loong terdiri daripada pokok berusia lebih 16 tahun.


Secara keseluruhan, walaupun berdepan tekanan kos, kumpulan ini kekal sebagai kaunter defensif dalam sektor perladangan dengan asas tunai kukuh dan pulangan dividen yang stabil. - DagangNews.com