KUALA LUMPUR 3 Feb — AME Elite Consortium Berhad dianugerahkan kontrak bernilai RM214.1 juta oleh KLIA Aeropolis Sdn Bhd untuk membina fasiliti ujian enjin pesawat (Fasa 1) di Sepang, Selangor.
Tender baharu tersebut diterima melalui anak syarikat milik penuh, AME Construction Sdn Bhd, melibatkan kerja-kerja bangunan utama untuk kemudahan aeronautikal yang berspesifikasi tinggi.
Ia direka bagi memenuhi standard keselamatan dan teknikal ketat untuk pengujian enjin pesawat, dengan tempoh pelaksanaan dijangka 12 bulan, bermula Februari 2026 dan siap pada Januari 2027.
Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif AME Elite, Dylan Tan Teck Eng, projek ini menandakan pencapaian penting syarikat menyokong pelan pembangunan industri aeroangkasa negara.
"Selain itu, projek ini memperkukuh reputasi kumpulan dalam membina bangunan berprestasi tinggi untuk sektor industri, logistik, farmaseutikal dan aeroangkasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Di samping itu jelas beliau, kontrak pembinaan fasiliti berkenaan dijangka mampu menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan tersebut bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2027.
Sejak awal tahun kewangan kata Teck Eng, seksyen pembinaan dan kejuruteraan AME Elite sudah pun berjaya dalam memperoleh pelbagai projek yang keseluruhannya bernilai melebihi RM600 juta.
AME Elite, yang ditubuhkan pada 1995, terkenal dengan kepakaran pembinaan dan kejuruteraan dalaman, termasuk kejuruteraan mekanikal dan elektrikal, struktur besi serta rumusan tenaga hijau.
Antara projek dan taman industri utama yang pernah dibangunkan oleh kumpulan berkenaan termasuk i-Park @ Senai Airport City, i-TechValley @ SILC, dan Northern TechValley @ BKE.
Syarikat ini juga menerima pelbagai anugerah termasuk Pemaju Terbaik Industri, dan pengiktirafan antarabangsa seperti World Gold & Silver Winner FIABCI World Prix d'Excellence Awards. - DagangNews.com








