KUALA LUMPUR 17 April – inDrive, platform e-hailing dan penghantaran global memperkenalkan inisiatif komisen 1 peratus bagi pemandu sedia ada dan baharu di Kuala Lumpur yang berlangsung sehingga 31 Mei 2026.
Melalui inisiatif itu, pemandu yang menyertai kempen berkenaan berpeluang mengekalkan sehingga 99 peratus daripada setiap tambang yang diperoleh sepanjang tempoh promosi tersebut.
Menurut inDrive, langkah itu diperkenalkan ketika pemandu e-hailing berdepan tekanan kos operasi yang meningkat, khususnya susulan kenaikan harga bahan api akibat ketidaktentuan ekonomi global.
“Selain bahan api, kos lain seperti penyelenggaraan kenderaan dan insurans turut memberi kesan kepada pendapatan bersih pemandu, sekali gus menjadikan struktur komisen platform semakin penting dalam menentukan tahap kelestarian pendapatan mereka.
“Dalam keadaan itu, inisiatif komisen dilihat sebagai usaha untuk meningkatkan pendapatan boleh guna pemandu serta mengurangkan beban kos harian mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengurus Operasi Pemandu di inDrive Malaysia, Azlan Anwar berkata struktur komisen dan ketelusan harga merupakan elemen penting bagi memastikan industri e-hailing terus mampan, terutama di Malaysia yang bergantung kepada sektor tersebut sebagai sumber pendapatan utama ramai individu.
“Melalui inisiatif ini, syarikat berusaha mengembalikan lebih banyak pendapatan kepada pemandu selain memperkukuh komitmen terhadap model yang lebih adil dan telus.
“Pemandu merupakan tulang belakang ekosistem e-hailing dan mereka wajar menerima bahagian yang lebih seimbang daripada nilai yang dihasilkan dalam platform tersebut,” katanya.
Sebelum ini, inDrive turut mengekalkan kadar komisen antara yang terendah di Malaysia, selain mengguna pakai model penetapan harga secara peer-to-peer yang membolehkan pemandu dan penumpang berunding serta bersetuju terhadap tambang perjalanan.
inDrive kini beroperasi di 1,065 bandar dalam 48 negara, dengan lebih 400 juta muat turun aplikasi di seluruh dunia. Syarikat itu juga pernah dinobatkan sebagai aplikasi mobiliti kedua paling banyak dimuat turun selama empat tahun berturut-turut.
Selain perkhidmatan e-hailing, inDrive turut mengembangkan tawaran perkhidmatan termasuk pengangkutan antara bandar, penghantaran dan perkhidmatan kewangan, selain melancarkan New Ventures pada 2023 sebagai cabang pelaburan dan penggabungan serta pengambilalihan (M&A).
Untuk menyertai kempen tersebut, pemandu baharu dan sedia ada di Kuala Lumpur hanya perlu memuat turun aplikasi inDrive, manakala maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi inDrive Malaysia atau akaun Instagram @indrive.my. - DagangNews.com








