Alumni AD UiTM Batch 94-97 pamer karya seni raikan pencapaian 30 tahun dalam industri kreatif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alumni AD UiTM Batch 94-97 pamer karya seni raikan pencapaian 30 tahun dalam industri kreatif

Tajul Suhaizam (kiri) menerangkan tentang salah satu karya kepada pengarah filem tersohor tanahair, Dr. U-Wei Haji Saari sewaktu hadir pada Pameran ISE di UPSI.
Oleh Zaki Salleh

TANJUNG MALIM 4 Mac - Alumni Seni dan Reka Bentuk Universiti Teknologi Mara (AD UiTM) Batch 94-97 mempamerkan hasil karya mereka pada Pameran ISE: Inspiring Souls Exhibition di Galeri Seni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

 

Pameran ini merupakan dedikasi kepada perjalanan kerjaya mereka sepanjang 30 tahun lalu yang turut menyumbang kepada kemajuan negara dalam pelbagai disiplin seni dan reka bentuk.

 

Mereka bukan sekadar seniman tetapi juga pemikir, inovator dan pemacu industri yang telah membawa seni ke tahap global. 

 

Antaranya Noor Hisham Jusoh yang merupakan pereka wang syiling negara; Mahyuddin Sidek@ Dino (pereka kostum filem); Sheila Osman (Ketua Pereka Barang Kemas Habib Jewels) dan Wan Zulkifli Wan Salleh (pengarah seni).

 

Perak

 

Perak

 

Perak

 

Alumni lain termasuklah Asmawi Ismail; Imran Othman; Emilia Abdul Manan dan Rini Fauzan Mohamed Zuhairi yang turut mencipta nama dalam karier masing-masing.

 

Sebanyak 10 hasil karya yang dipamerkan dengan nilai lebih RM50,000 telah disumbangkan kepada UPSI sebagai bahan penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan seni.

 

Pameran ini merupakan inisiatif Institut Peradaban Melayu (IPM) UPSI dengan kerjasama Alumni Seni dan Reka Bentuk UiTM Batch 1994-1997. 

 

Pengarah IPM, Prof. Dr. Tajul Suhaizam Said berkata, pameran ini bukan sekadar refleksi pencapaian individu, tetapi juga bukti bahawa seni mempunyai nilai ekonomi dan sosial yang signifikan. 

 

Kata kurator pameran dan Alumni AD UiTM Batch 94-97 ini, karya-karya yang dipamerkan membuktikan bahawa seni bukan sekadar gambaran estetik tetapi juga suatu bentuk pemikiran yang menghubungkan zaman, teknologi dan ideologi.

 

Perak

 

Perak

 

Perak

 

“Alumni Seni dan Reka Bentuk UiTM telah mengorak langkah besar dalam meneroka dan membentuk landskap seni kontemporari Malaysia. 

 

“Mereka telah membawa kepakaran mereka ke peringkat antarabangsa, menghubungkan seni Malaysia dengan dunia luar. 

 

“Dalam era digital, seni telah berevolusi daripada bentuk konvensional kepada eksplorasi media baharu seperti kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR) dan seni digital. 

 

“Alumni UiTM bukan sahaja mengikuti perubahan ini tetapi juga menjadi perintis dalam pelbagai bidang seni yang berteraskan teknologi,” ujarnya kepada DagangNews.

 

Perak
Sebahagian daripada Alumni AD UiTM Batch 94-97 yang menjayakan Pameran ISE di Galeri Seni UPSI.

 

Selain sumbangan dalam bidang seni dan akademik, alumni AD UiTM turut menjadi pemacu kepada ekonomi kreatif negara. 

 

Jelas Tajul Suhaizam, mereka telah menerajui syarikat reka bentuk, studio seni, galeri, agensi pengiklanan serta pelbagai perniagaan kreatif yang berasaskan seni dan reka bentuk. 

 

“Seni bukan sekadar satu bentuk ekspresi, tetapi juga sumber ekonomi yang mampu mencipta peluang pekerjaan dan memperkasa industri.

 

“Pameran ini juga mengukuhkan peranan UPSI sebagai institusi yang terus menyemarakkan seni dan budaya dalam sistem pendidikan negara,” ujarnya. - DagangNews.com