KUALA LUMPUR 1 Okt – Alpha IVF Group Berhad semakin hampir merealisasikan rancangan pengembangan ke Indonesia menerusi pemeteraian perjanjian pajakan tanah untuk membina pusat IVF (persenyawaan in-vitro) sepenuhnya di Bali.
Melalui anak syarikatnya, PT Alpha IVF Dan SPOG Bali (ASPOBA), kumpulan itu menandatangani perjanjian dengan PT Hotel Indonesia Natour (HIN), sebuah entiti milik kerajaan Indonesia yang bertanggungjawab dalam sektor hospitaliti negara tersebut.
Pajakan itu melibatkan tanah seluas 6,343 meter persegi di Zon Ekonomi Khas (SEZ) Sanur, Bali, bagi pembinaan kemudahan rawatan pakar yang menawarkan perkhidmatan kesuburan, obstetrik, ginekologi serta kesihatan wanita.
SEZ Sanur merupakan inisiatif kerajaan Indonesia untuk menggalakkan pelancongan perubatan dan kesihatan, yang menarik penyedia perkhidmatan perubatan antarabangsa. Hanya pusat perubatan bertaraf dunia dengan rekod prestasi kukuh dipilih untuk beroperasi di zon khas itu.
Sebagai peserta SEZ, Alpha IVF Group bakal menikmati insentif fiskal yang kukuh, termasuk pelepasan cukai pendapatan korporat, elaun pelaburan, pengecualian cukai import dan VAT untuk peralatan perubatan yang layak, serta kelulusan lebih pantas bagi pengamal perubatan asing.

Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Dr Colin Lee Soon Soo berkata langkah ini menandakan peralihan daripada peringkat perancangan kepada pelaksanaan.
“Dengan tanah di SEZ Sanur kini berjaya diperoleh, kami komited membina kemudahan bertaraf dunia untuk membawa perkhidmatan kesuburan dan penjagaan kesihatan wanita yang maju ke Indonesia,” katanya.
Beliau menambah, permintaan yang semakin meningkat terhadap rawatan kesuburan dan kesihatan wanita di Indonesia bukan sahaja satu peluang, malah satu tanggungjawab.
“Matlamat kami bukan sekadar menyediakan rawatan berkualiti tinggi, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekosistem kesihatan negara,” katanya lagi.
Pajakan tersebut berjangka awal 30 tahun dengan pilihan sambungan, manakala operasi komersial dijangka bermula dalam tempoh 20 bulan daripada tarikh kuat kuasa.
Awal tahun ini, Alpha IVF Group menandatangani perjanjian pemegang saham dengan PT Delemont Global Venture untuk membentuk usaha sama di bawah ASPOBA, dengan pegangan 75% oleh Alpha IVF Group dan baki 25% oleh rakan usaha sama Indonesia itu.
Usaha sama ini akan membiayai pusat IVF baharu dengan perbelanjaan modal sebanyak RM26.4 juta dalam tempoh tiga tahun, di mana sumbangan Alpha IVF Group berjumlah RM19.76 juta.
Apabila siap kelak, pusat tersebut akan menjadi satu-satunya pusat IVF dalam SEZ Sanur. Alpha IVF Group melihatnya sebagai peluang strategik untuk mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia IVF utama di rantau ini, selain memperluas akses rawatan kesuburan dan kesihatan wanita di Indonesia. - DagangNews.com








