Aktiviti perdagangan di Westports berisiko menurun kesan tarif Trump — CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aktiviti perdagangan di Westports berisiko menurun kesan tarif Trump — CGS International

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 April — Westports Malaysia Berhad berisiko menyaksikan penurunan ketara aktiviti perdagangan akibat kelembapan dalam permintaan barangan disebabkan kenaikan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menurut CGS International.
 

Firma penyelidikan itu berkata, pengumuman tarif timbal balas asas universal sebanyak 10 peratus, dengan tambahan lebih tinggi untuk negara yang mencatatkan lebihan perdagangan besar dengan AS, seperti Malaysia memang boleh memberi kesan susulan.
 

Ia memberikan contoh China, akan menyaksikan sejumlah 34 peratus dalam tarif baharu, sebagai tambahan kepada 20 peratus tarif yang telah pun dikenakan sejak Januari 2025 dan menjadikan purata tarif AS ke atas barangan negara itu kepada 76 peratus.
 

"Sekiranya permintaan AS untuk produk dari China menurun, maka segala eksport barangan pengantara Malaysia ke China juga akan boleh terjejas dan merekodkan pengurangan sama," kata CGS International dalam satu nota kajiannya.
 

Isi padu kontena melalui Westports yang terletak di Pelabuhan Klang, Selangor jelas firma tersebut, turut boleh terjejas jika negara jiran menghadapi ketidaktentuan ekonomi, dan mengakibatkan penggunaan barangan Malaysia boleh berkurangan.


Ia merujuk data pada 2024 yang merekodkan sebanyak 66 peratus pergerakan kontena Westports datang daripada perdagangan intra-Asia, manakala hanya sembilan peratus lagi melibatkan aktiviti perdagangan Asia-AS.


CGS International berkata, perkembangan pada kali ini boleh menyaksikan pertumbuhan lemah sepanjang 2025 disebabkan oleh potensi negatif daripada kesan tindakan Trump, yang mewakili risiko penurunan utama.


Ramalan semasanya ialah Westports perlu meningkatkan volum kontenanya sebanyak 3.7 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada 2025, berbanding rekod 10.98 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena yang dikendalikannya pada 2024.


Pertumbuhan akan datang kata firma penyelidikan tersebut, diperoleh daripada pertumbuhan sebanyak dua peratus dalam volum pemindahan kapal, manakala perkembangan enam peratus lagi melibatkan volum pintu masuk.


Bagaimanapun katanya, tidak semua tarif itu bersifat negatif kerana CGS International percaya mungkin terdapat peningkatan untuk Westports, dalam persekitaran percukaian yang lebih tinggi, walaupun ia mungkin tidak direalisasikan dengan serta-merta.


Ia berkata, kedudukan Malaysia sendiri sebagai salah satu negara dengan tarif terendah di Asia Tenggara mungkin dapat menarik banyak kilang berpindah ke negara ini, yang akhirnya boleh menjana volum pintu masuk tambahan untuk Westports.


Firma tersebut namun menjangkakan bahawa proses berkenaan mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk menjadi kenyataan.


"Kami masih percaya bahawa Westports adalah saham yang baik untuk dilaburkan dan berpendapat bahawa kenaikan tarif kontena Pelabuhan Klang mungkin akan dilaksanakan pada separuh kedua 2025," kata CGS International.


Operator pelabuhan berkenaan dijangka mencatatkan kenaikan tarif kontena sebanyak 15 peratus dari 1 September 2025, dan 15 peratus lagi dari 1 September 2028, dengan pertambahan 30 peratus secara keseluruhan.


Meskipun terdapat sedikit risiko kelewatan dalam kenaikan tarif kontena disebabkan rayuan daripada pihak pengilang Malaysia, ia berkata bahawa projek pembesaran Westports adalah penting kepada masa depan ekonomi negara.


Pihak kerajaan sendiri dijangka menunjukkan sokongan untuk keperluan pembiayaan Westports setelah pengendali pelabuhan itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM898 juta, dengan hasil RM2.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.


Harga saham Westports bertambah satu peratus kepada RM4.76 sesaham ketika awal dagangan pada Jumaat, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM16.2 bilion dengan nilai sahamnya naik 2.15 peratus tahun ini. - DagangNews.com