KUALA LUMPUR 2 Sept – Satu akta baharu berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat milik kerajaan (SOEs) sedang digubal bagi memperkukuhkan tadbir urus korporat, meningkatkan akauntabiliti serta mengoptimumkan prestasi, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
MOF berkata, inisiatif itu penting bagi memperbaiki pengurusan kewangan negara supaya lebih teratur dan memastikan potensi pembangunan negara dapat dimaksimumkan.
“Kerajaan juga komited melaksanakan reformasi institusi yang menyokong agenda pembangunan nasional, termasuk melalui penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan yang bertujuan memperbaiki tadbir urus serta proses perolehan kerajaan,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab soalan Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin (PN-Pagoh) mengenai langkah Kerajaan MADANI menangani hutang dan liabiliti negara yang kini mencecah RM1.34 trilion atau 64% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), serta langkah di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal bagi menstabilkan kenaikan hutang negara.
Menurut MOF, beberapa langkah kawalan sedang dilaksanakan untuk menguruskan peningkatan hutang dan liabiliti, antaranya meneruskan usaha konsolidasi fiskal, meluaskan asas hasil kerajaan, mengoptimumkan perbelanjaan awam, menghadkan pendedahan jaminan kewangan serta menyemak semula kaedah pelaksanaan projek di luar bajet.
Selain itu, inisiatif strategik kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Program Pemerkasaan serta Reformasi GLC (GEAR-uP) dijangka merangsang aktiviti ekonomi sekali gus mengukuhkan hasil kerajaan, di samping mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman. - DagangNews.com








