KUALA LUMPUR 15 Julai – Datuk Akbar Moidunny kekal sebagai Presiden Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) bagi penggal 2025-2026 melalui mesyuarat majlis tertinggi yang diadakan pada 21 Jun lalu.
Akbar yang memiliki lebih 38 tahun pengalaman dalam bidang nasihat korporat dan perundingan tadbir urus berkata, MAICSA perlu bergerak melangkaui peranannya sebagai badan profesional semata-mata.
“Kita mesti menjadi suara yang diiktiraf dalam hal tadbir urus korporat dan kepimpinan.
“Peranan kita bukan sekadar pengawalseliaan semata-mata, malah perlu aktif dalam pembangunan untuk memacu pertumbuhan korporat yang mampan untuk jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di bawah kepimpinan beliau, MAICSA akan memberi tumpuan kepada usaha melahirkan barisan pemimpin tadbir urus masa depan, menjalin kerjasama strategik bersama pengawal selia dan pemain industri serta memperkukuh kedudukan institusi itu sebagai autoriti nasional dalam hal tadbir urus.
Mesyuarat berkenaan turut menyaksikan pelantikan semula beberapa pemegang jawatan utama termasuk Dipak Kaur sebagai Timbalan Presiden, Dr Nandita Choudhury sebagai Naib Presiden dan Profesor Madya Noorbijan Abu Bakar sebagai Setiausaha Kehormat.
Lee Mi Young pula dilantik sebagai Bendahari Kehormat, manakala Simon Yeoh kembali berkhidmat sebagai Presiden Terdahulu.- DagangNews.com








