AirTrunk labur RM12 bilion bina dua kampus pusat data AI hyperscale di Johor Bahru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirTrunk labur RM12 bilion bina dua kampus pusat data AI hyperscale di Johor Bahru

Satu daripada kampus AirTrunk, JHB1 di Johor Bahru kini hampir 100 peratus siap. - Gambar AirTrunk
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 30 April - AirTrunk, platform pusat data hyperscale terkemuka Asia Pasifik dan Timur Tengah, mengumumkan pelaburan besar berjumlah RM12 bilion di Malaysia bagi membangunkan dua kampus baharu di Johor Bahru, iaitu JHB3 dan JHB4.

 

Pelaburan ini akan menambah kapasiti lebih 280 megawatt (MW) beban IT kepada portfolio AirTrunk di Malaysia, dengan kedua-dua kampus baharu itu terletak di Iskandar Puteri, Johor Bahru berhampiran kemudahan sedia ada JHB1 dan JHB2.

 

Dengan penambahan JHB3 dan JHB4, jumlah kapasiti keseluruhan AirTrunk di Malaysia kini melebihi 700MW, menjadikan negara ini antara hab utama infrastruktur digital syarikat berkenaan di rantau Asia Pasifik.

 

Secara keseluruhan, pelaburan AirTrunk di Malaysia kini mencecah kira-kira RM27 bilion (USD6.8 bilion), mencerminkan keyakinan jangka panjang syarikat terhadap potensi pertumbuhan ekonomi digital negara.

 

Kampus-kampus baharu ini direka khas untuk menyokong beban kerja cloud dan kecerdasan buatan (AI) berketumpatan tinggi, dengan reka bentuk yang fleksibel, berskala dan berdaya tahan serta menekankan kecekapan tenaga.

 

Kemudahan tersebut turut dilengkapi sistem penyejukan moden menggunakan 100% air kitar semula, sekali gus mengurangkan impak terhadap sumber semula jadi dan menyokong amalan kelestarian operasi pusat data.

 

Hampir siap 100%

Menurut AirTrunk, JHB1 dan JHB2 ketika ini hampir 100% telah dikontrakkan oleh pelanggan global cloud dan AI, menunjukkan permintaan kukuh terhadap kapasiti baharu yang sedang dibangunkan di Johor.

 

Secara keseluruhan, selepas pembangunan JHB3 dan JHB4, AirTrunk dijangka mencapai lebih 3.3 gigawatt (GW) kapasiti operasi dan perancangan merentasi 22 kampus di enam pasaran termasuk Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju infrastruktur digital hyperscale global.

 

Dari segi impak ekonomi, syarikat itu telah menyalurkan RM423 juta kepada pembekal tempatan setakat ini, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM5 bilion apabila semua empat kampus siap dibangunkan, selain mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan semasa fasa pembinaan.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirTrunk, Robin Khuda berkata pelaburan ini menandakan fasa baharu pengembangan syarikat di Malaysia.

 

“JHB3 dan JHB4 mewakili fasa seterusnya dalam pengembangan kami di Malaysia, berasaskan momentum kukuh daripada platform Johor sedia ada. Malaysia mempunyai aspirasi yang jelas untuk menerajui AI, dan kami melabur untuk visi itu bagi jangka panjang,” katanya.

 

Beliau berkata keyakinan AirTrunk turut disokong oleh kerjasama erat dengan kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan tempatan.

 

“Keyakinan kami datang daripada perkongsian kukuh dengan Kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan tempatan yang telah menyokong kami sepanjang perjalanan ini. Apabila kami berkembang, cara kami membina dan beroperasi sama pentingnya dengan pertumbuhan itu sendiri,” katanya.

 

“Dengan pelaburan ini, kami juga memikul tanggungjawab untuk menyokong komuniti, mengurus sumber dengan bijak dan memastikan prinsip tersebut diterapkan dalam setiap aspek perancangan, pembinaan dan operasi kami,” tambahnya.

 

Sokongan kerajaan Malaysia

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Malaysia terus komited memperkukuh kedudukannya sebagai hab digital dan kecerdasan buatan (AI) serantau, disokong oleh pembangunan infrastruktur yang kukuh serta kerjasama strategik antara kerajaan dan industri.

 

Beliau berkata pelaburan seperti AirTrunk membuktikan keyakinan terhadap hala tuju negara serta menyokong pertumbuhan inovasi, bakat dan ekonomi digital jangka panjang.

 

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia berkata pelaburan AirTrunk mencerminkan hubungan dua hala yang semakin erat antara Australia dan Malaysia dalam pembangunan infrastruktur digital serta memperkukuh ekosistem ekonomi digital serantau.

 

Kerjasama STEM

Selain itu, AirTrunk turut bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia dalam program pendidikan STEM dan biasiswa, di samping inisiatif literasi digital bersama ICDL bagi memperkukuh pembangunan bakat tempatan.

 

Syarikat itu juga menjalinkan kerjasama dengan Gravity Water, Water Watch Penang serta MERCY Malaysia bagi inisiatif air, ketahanan bencana dan program impak sosial komuniti di Johor. - DagangNews.com