AirAsia X: Hasil menurun pada 2Q25 tetapi prospek 2H25 dijangka lebih kukuh disokong faktor luaran dan destinasi baharu - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia X: Hasil menurun pada 2Q25 tetapi prospek 2H25 dijangka lebih kukuh disokong faktor luaran dan destinasi baharu - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Ogos – AirAsia X Bhd (AAX) mencatatkan keputusan kewangan suku kedua 2025 (2Q25) dan separuh pertama 2025 (6M25) yang lebih rendah daripada jangkaan, terutamanya disebabkan hasil per unit penumpang yang merosot.

 

Namun penganalisis meletakkan prospek syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu kekal positif dengan unjuran prestasi lebih baik pada separuh kedua 2025 (2H25), didorong oleh pemulihan tambang, pembukaan laluan baharu, serta kos penyelenggaraan yang semakin berkurangan.

 

Firma penyelidakan Maybank IB berkata, walaupun keuntungan bersih teras bagi FY25E/FY26E/FY27E dipotong masing-masing sebanyak 26%/23%/23%, AAX optimis prestasi akan pulih.

 

"Syarikat menjelaskan tambang ke Jepun kembali stabil selepas Julai, sementara laluan baharu ke Tashkent, Uzbekistan dan Istanbul, Turkiye akan dilancarkan pada 4Q25 – dengan Istanbul dijangka mendapat sambutan menggalakkan.

 

"Selain itu, kos penyelenggaraan dijangka menurun pada 2H25 kerana lebih sedikit pesawat menjalani pemeriksaan berat berbanding 1H25 yang menelan kos MYR346.3 juta," kata firma itu.

 

Sehubungan itu Maybank IB mengekalkan saranan “BELI” terhadap saham AAX walaupun menurunkan harga sasaran (TP) kepada MYR2.00 daripada MYR2.69. 

 

Penilaian kekal menarik pada hanya 4 kali FY25E PER, jauh di bawah purata syarikat penerbangan tambang rendah global pada 9 kali.

 

Firma penyelidikan PublicInvest pula menjangkakan permintaan perjalanan udara terus berkembang secara mantap, disokong oleh harga bahan api jet yang kekal rendah, pengukuhan Ringgit Malaysia, serta inisiatif pelancongan yang giat digerakkan kerajaan. 

 

Faktor-faktor tersebut ditambah dengan ambang penerbangan yang kompetitif dan peningkatan perjalanan intra-rantau juga dijangka menjadi pemacu tambahan AAX.

 

Menurutnya, AAX merancang memperluaskan rangkaian penerbangannya ke rantau Asia Tengah dengan pelancaran laluan baharu ke Istanbul, Turkiye dan Tashkent, Uzbekistan pada suku keempat 2025 (4Q25).

 

"Kedua-dua destinasi itu diyakini berpotensi menjadi penyumbang utama kepada pendapatan, khususnya Istanbul yang merupakan hab popular bagi penumpang transit ke Eropah," tambah firma berkenaan.

 

PublicInvest menambah, selain pertumbuhan hasil, AAX juga dijangka mendapat manfaat daripada kos yang semakin terkawal. Perbelanjaan penyelenggaraan dan baik pulih pesawat dijangka menurun berikutan lebih sedikit pesawat menjalani pemeriksaan berat pada 2H25.

 

Kos operasi per unit (CASK) juga terus menunjukkan penurunan, sebahagian besarnya disebabkan kos bahan api yang lebih rendah. Faktor ini membantu mengecilkan kerugian teras pada suku kedua lalu meskipun hasil susut akibat kelemahan bermusim dan sentimen perjalanan yang berhati-hati.

 

"Walaupun keputusan suku kedua 2025 (2QFY25) lebih rendah daripada jangkaan pasaran dengan untung bersih teras hanya RM1.7 juta, prospek keseluruhan AAX kekal positif," kata firma berkenaan.

 

Sehubungan itu PublicInvest mengekalkan saranan "Outperform" dengan harga sasaran berasaskan PER pada RM2.47, dengan keyakinan bahawa prestasi 2H25 akan menjadi pemangkin utama pemulihan keuntungan syarikat. - DagangNews.com