KUALA LUMPUR 8 Julai – AirAsia merancang untuk menambah laluan penerbangan dari Pulau Pinang ke destinasi serantau sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan yang berterusan dan mengukuhkan kedudukan syarikat dalam jaringan pengangkutan udara di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, syarikat penerbangan itu sedang menilai beberapa laluan baharu berpotensi yang melibatkan Pulau Pinang sesuai dengan lokasinya sebagai destinasi pelancongan utama negara.
“Kami akan menjalankan kajian lebih terperinci. Apa yang pasti, sebagai syarikat penerbangan, tugas kami adalah menghubungkan tempat dan manusia.
"Namun pada masa sama, kami juga perlu memastikan langkah itu berdaya maju dan mampan dalam jangka panjang,” katanya dalam sidang media AirAsia RedRun di Pulau Pinang hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai.
Fareh berkata, sebarang rancangan pengembangan perlu mengambil kira aspek kemampanan operasi dan daya saing jangka panjang dengan tumpuan awal diberikan kepada laluan yang menunjukkan permintaan kukuh dan potensi komersial segera.
Walaupun tiada laluan baharu yang disahkan buat masa ini, beliau memberi bayangan bahawa fokus utama AirAsia kekal pada destinasi serantau, dengan sasaran untuk memperkukuh hubungan Pulau Pinang dalam kalangan negara ASEAN dan pasaran berhampiran.
Sementara itu, Hon Wai berkata, AirAsia telah membawa lebih 1.8 juta penumpang ke Pulau Pinang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
"Syarikat itu juga menyumbang 38 peratus daripada jumlah ketibaan pesawat penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang," katanya.
Ketika ini, AirAsia menghubungkan Pulau Pinang dengan tujuh bandar antarabangsa iaitu Bangkok, Medan, Jakarta, Surabaya, Shenzhen, Singapura dan Ho Chi Minh City serta lima destinasi domestik iaitu Johor Bahru, KLIA, Kuching, Kota Kinabalu dan Langkawi.
Terdapat 239 penerbangan mingguan AirAsia ke Pulau Pinang dari destinasi dalam dan luar negara. Selain itu, AirAsia turut menyediakan sambungan antarabangsa melalui program Fly-Thru dan penerbangan transit melalui KLIA,.- DagangNews.com








