AirAsia lancar semula hab Cebu, kukuhkan kedudukan di Filipina dan rantau ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia lancar semula hab Cebu, kukuhkan kedudukan di Filipina dan rantau ASEAN

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Sept – AirAsia hari ini mencatat satu lagi pencapaian penting dalam peluasan operasinya di rantau ini dengan pelancaran rasmi Cebu sebagai hab terbaharu syarikat itu di Filipina, sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjang terhadap pertumbuhan dan keterhubungan serantau merentasi ASEAN.

 

Hab baharu itu akan berperanan sebagai pintu strategik bagi mempertingkat akses antara Filipina dan negara-negara Asia lain termasuk Malaysia, memanfaatkan kedudukan Cebu sebagai salah satu pusat pelancongan dan perniagaan yang paling pesat berkembang di Filipina. 

 

Langkah ini dijangka memperkukuh lagi kedudukan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah yang paling pesat berkembang di Filipina.

 

Dengan pelancaran ini, Cebu kini menyertai Manila sebagai hab operasi utama bagi AirAsia Filipina (kod penerbangan Z2), membolehkan rangkaian destinasi domestik dan antarabangsa terus diperluas. 

 

Bagi rakyat Malaysia, perkembangan ini membuka laluan yang lebih lancar ke wilayah Visayas dan Mindanao serta destinasi pelancongan popular seperti Bohol, Cagayan de Oro dan Davao.

 

Bermula 15 November tahun ini, AirAsia Filipina akan mengendalikan laluan iaitu Cebu – Kuala Lumpur – Cebu (14 kali seminggu), Cebu – Davao – Cebu (18 kali seminggu), Cebu – Caticlan – Cebu (11 kali seminggu), Cebu – Iloilo – Cebu (4 kali seminggu) dan Cebu – Macao – Cebu (3 kali seminggu)

 

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Amanda Woo berkata, pembukaan semula hab Cebu menandakan komitmen kukuh AirAsia terhadap pasaran Filipina, dengan meneroka pintu masuk baharu yang berpotensi menjana peluang ekonomi besar. 

 

"Ia membolehkan pelancong dari selatan Filipina terus mengakses lebih 130 destinasi di ASEAN, Asia Utara dan Eropah melalui hab mega kami di Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan kongsi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan Cebu (MCIA), kerajaan Filipina dan pihak berkepentingan lain atas sokongan dalam menjayakan pelancaran ini.

 

Katanya, sebagai meraikan pelancaran ini AirAsia menawarkan promosi tambang termasuk semua sehala dari serendah RM288 untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Cebu. 

 

Selain itu, penumpang dari Cebu juga boleh menikmati akses terus ke Greater China melalui laluan ke Macao dengan harga mampu milik.

 

Promosi ini sah untuk tempahan menerusi aplikasi MOVE (dahulunya dikenali sebagai airasia Superapp) sehingga 21 September 2025 bagi perjalanan antara 15 November 2025 hingga 28 Mac 2026. 

 

Promosi merangkumi laluan domestik yang baru dibuka semula dari Cebu, termasuk ke Iloilo, Caticlan dan Davao, dengan tambang serendah PHP904 sehala termasuk semua.  - DagangNews.com

 

airasia