AI lonjak permintaan hartanah Malaysia, pelaburan pusat data RM9.5 bilion jadi pemacu - Juwai IQI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AI lonjak permintaan hartanah Malaysia, pelaburan pusat data RM9.5 bilion jadi pemacu - Juwai IQI

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 April – Malaysia berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai peneraju dalam kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan merangsang pasaran hartanah negara, kata Juwai IQI.

 

Jangkaan itu disokong dapatan laporan “AI Index 2026 Annual Report” oleh Stanford University yang menunjukkan Malaysia mencatat tahap kesediaan, kepercayaan dan penerimaan AI yang tinggi dalam kalangan rakyat dan perniagaan.

 

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata Malaysia kini berada dalam kelompok teratas dunia dari segi kesiapsiagaan terhadap teknologi tersebut.

 

Menurutnya, perkembangan itu membantu menjelaskan aliran pelaburan besar dalam sektor maklumat dan komunikasi yang mencecah RM152.9 bilion pada tahun lalu.

 

“Di peringkat global, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan AI kini menyumbang kira-kira satu daripada setiap empat ringgit pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia.

 

“Di Malaysia, penggunaan AI yang pesat dalam kalangan perniagaan telah mencetuskan gelombang pertumbuhan baharu, khususnya dalam subsektor maklumat dan komunikasi yang menjadi penyumbang terbesar peluang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sepanjang tahun lalu, AI mewujudkan lebih 12,600 peluang pekerjaan, mengatasi sektor perkhidmatan perniagaan global yang hanya mencipta sekitar 9,000 pekerjaan dalam tempoh sama.

 

Dalam masa sama, rakyat Malaysia menunjukkan tahap keyakinan tinggi terhadap teknologi tersebut apabila hampir 80% percaya AI akan mengubah kehidupan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

 

Sebanyak 76% responden pula menyatakan keterujaan terhadap AI, manakala kira-kira 70% berpendapat produk dan perkhidmatan berasaskan AI membawa lebih banyak manfaat berbanding risiko.

 

Beliau berkata laporan itu turut menunjukkan sembilan daripada 10 rakyat Malaysia sudah menggunakan AI di tempat kerja, selain 90% pelajar universiti turut memanfaatkan teknologi berkenaan dalam pembelajaran.

 

Dari sudut tadbir urus, Malaysia mencatat tahap kepercayaan awam yang tinggi terhadap keupayaan kerajaan dalam mengawal selia AI, dengan 73% rakyat yakin terhadap peranan tersebut, antara yang tertinggi di dunia.

 

Mengulas lanjut, Kashif berkata keyakinan itu didorong pendekatan proaktif kerajaan dalam memperkenalkan dasar ekonomi digital, menarik pelaburan pusat data serta memperkukuh industri semikonduktor dan kerjasama dengan syarikat teknologi global.

 

Beliau berkata, kesan limpahan pelaburan AI turut dirasai dalam sektor hartanah apabila pemaju pusat data dianggarkan membelanjakan sekitar RM9.5 bilion setahun bagi pembelian tanah.

 

“Permintaan terhadap kemudahan industri, ruang pejabat, logistik serta perumahan dijangka terus meningkat, selari pertumbuhan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang AI,” katanya. - DagangNews.com