KUALA LUMPUR 7 Ogos - Seorang penyokong kerajaan di Dewan Rakyat hari ini menggesa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diturunkan sementara secara berfasa bagi memberikan kelegaan kepada rakyat dan komuniti perniagaan.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, kadar SST pada tahun ini boleh diturunkan sebanyak separuh iaitu daripada lapan peratus kepada empat peratus dan daripada enam peratus kepada tiga peratus.
Jelasnya, sejak dilaksanakan 1 Julai lalu, SST telah menimbulkan persepsi meluas dalam kalangan rakyat bahawa cukai itu membebankan majoriti mereka.
"Dalam dunia politik persepsi menentukan segalanya. Tanpa mengira sama ada ianya benar atau tidak, persepsi ini amat menjejaskan imej kerajaan Madani.
"Sehubungan ini saya menggesa kerajaan melaksanakan langkah berfasa untuk menurunkan kadar SST secara sementara bagi tempoh dua tahun," katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) hari ini.

Lip Eng menambah, pada tahun hadapan pula kadar cukai itu boleh dinaikkan semula secara berperingkat sebanyak satu satu peratus, contohnya dari empat peratus dinaikkan kepada lima peratus.
"Walaupun bersifat sementara dan bersasar saya yakin cadangan ini mampu memberikan kelegaan segera kepada rakyat serta komuniti perniagaan, di samping meningkatkan keyakinan pengguna dan kestabilan pasaran domestik.
"Saya percaya cadangan pragmatik ini boleh disambut baik oleh semua Ahli Parliman sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang," ujarnya.
Lip Eng menambah, langkah pengurangan itu juga mampu membantu usaha mitigasi kerajaan terhadap impak ekonomi susulan pengenalan tarif 19 peratus oleh AS ke atas barangan eksport Malaysia. - DagangNews.com








