AHB umum agihan pendapatan interim 2.50 sen seunit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AHB umum agihan pendapatan interim 2.50 sen seunit

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 April – Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan PHB Asset Management Berhad (PHBAM) mengumumkan agihan pendapatan interim sebanyak 2.50 sen seunit bagi Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2026.

 

Ia terdiri daripada agihan pendapatan 2.06 sen seunit dan agihan bonus 0.44 sen seunit, dengan bonus ditanggung oleh PHB sebagai penaja dan dibayar untuk 1,000,000 unit pertama setiap pemegang unit.

 

Sejumlah RM118.74 juta akan diagihkan kepada kira-kira 87,000 pemegang unit, menjadikan jumlah terkumpul agihan pendapatan AHB sejak penubuhan pada 2010 sebanyak RM2.5 bilion.

 

Bagi pemegang unit yang memiliki kurang daripada 10,000 unit, agihan pendapatan akan dibayar dalam bentuk unit tambahan. Pemegang unit yang memegang 10,000 unit dan ke atas akan menerima agihan secara tunai yang dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing pada 13 April 2026.

 

Agihan pendapatan ini adalah bersih selepas cukai dan zakat, sekali gus membolehkan pemegang unit menerima pembayaran bersih tanpa perlu menolak sebarang kewajipan lain.

 

Ditubuhkan pada 2010, AHB menyediakan akses kepada pelabur Bumiputera untuk memiliki aset hartanah komersial utama di lokasi strategik di Malaysia. Dana ini membolehkan penyertaan dengan pelaburan permulaan minimum RM100,  menyasarkan agihan pendapatan stabil dan pemeliharaan modal jangka panjang.

 

t
Mazuki Abdullah @ Muhammad

 

Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Mazuki Abdullah @ Muhammad berkata agihan pendapatan itu mencerminkan daya tahan portfolio AHB serta pendekatan berdisiplin PHB dalam menghadapi pasaran yang dinamik.

 

“Portfolio aset komersial yang pelbagai terus menjadi asas usaha PHB untuk mengekalkan pulangan mampan dan berdaya saing kepada pemegang unit. 

 

“Dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu, AHB terus menunjukkan pengukuhannya sebagai dana amanah unit pelaburan hartanah patuh Syariah,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PHBAM, Zulkifli Ishak berkata pengurus dana akan terus memberi tumpuan kepada inisiatif celik kewangan dan program kesedaran untuk menekankan kepentingan perancangan kewangan yang kukuh, selain memperluas akses kepada komuniti Bumiputera.

 

Usaha ini akan disokong strategi pemasaran yang lebih agresif untuk memperluas jangkauan dan menggalakkan penyertaan berterusan daripada pelabur sedia ada dan baharu.

 

Pemegang unit boleh menyemak agihan pendapatan masing-masing mulai 13 April 2026 melalui pengedar sah AHB iaitu PHBAM dan beberapa bank utama termasuk Malayan Banking Berhad, AmBank Berhad, AmBank Islamic Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad. - DagangNews.com