AGX rugi hampir RM500,000 daripada pelupusan saham All-Link Philippines | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AGX rugi hampir RM500,000 daripada pelupusan saham All-Link Philippines

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Mei - AGX Group Berhad (AGX) menganggarkan kerugian hampir RM500,000 susulan pelupusan pegangan sahamnya dalam Alllink Air & Sea Phils. Inc. (All-Link Philippines).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan logistik itu memberikan maklumat tambahan berhubung cadangan pelupusan All-Link Air & Sea Pte. Ltd. (All-Link Singapore) dan All-Link Philippines yang diumumkan pada 4 Mei lalu.

 

Sementara itu, kesan kewangan daripada pelupusan All-Link Singapore hanya dapat ditentukan selepas struktur transaksi dimuktamadkan kelak.

 

Menurut AGX, All-Link Singapore berkemungkinan melaksanakan satu urus niaga korporat yang melibatkan pengumpulan modal melalui penerbitan saham baharu kepada pelabur, tertakluk kepada kelulusan Singapore Exchange Securities Trading Limited (SGX-ST).

 

Seiring pelaksanaan urus niaga tersebut, pegangan efektif AGX dalam All-Link Singapore dijangka mengalami pencairan daripada 30% kepada kira-kira 23.2%, bergantung kepada struktur akhir transaksi.

 

Bagaimanapun, langkah pengumpulan modal itu dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan All-Link Singapore, sekali gus menyokong pertumbuhan masa hadapan syarikat berkenaan.

 

Ini berpotensi menyumbang secara positif kepada bahagian keuntungan AGX daripada syarikat bersekutu serta pendapatan dividen, tertakluk kepada pengisytiharan.

 

Nilai Aset Bersih

Dalam perkembangan berkaitan, AGX memaklumkan nilai aset bersih (NA) All-Link Philippines berjumlah AS$714,300 (kira-kira PHP41.53 juta atau RM3.3 juta) setakat 30 September 2025.

 

Bagi cadangan pelupusan All-Link Philippines, nilai pertimbangan sebanyak kira-kira RM856,048 akan diselesaikan melalui penerbitan sekitar 1,447 saham biasa baharu All-Link Singapore kepada AGX Singapore.

 

Jumlah saham tersebut dikira berdasarkan NA All-Link Singapore sebanyak kira-kira SGD19.12 juta dengan NA sesaham sekitar SGD191 pada tarikh sama.

 

Langkah strategik ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha AGX untuk menyusun semula pegangan serantau serta memperkukuh kedudukan kewangan anak syarikatnya dalam menghadapi persekitaran industri logistik yang semakin kompetitif. - DagangNews.com