KUALA LUMPUR 14 Mei — Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada UEM Sunrise Berhad berhubung taksiran cukai tambahan RM8.49 juta dan penalti dikenakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ia susulan Mahkamah Rayuan pada 19 Disember 2024 membenarkan rayuan anak syarikatnya, UEM Land Berhad terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Mac 2023 yang menolak kebenaran untuk memohon semakan semula kehakiman serta menahan pembayaran cukai tambahan dan penalti.
Dalam maklum balas terhadap perkembangan terbaharu itu, UEM Sunrise berkata, ia akan tetap mempertahankan keputusan Mahkamah Rayuan dan dijangka membuat pengumuman lanjut apabila terdapat perkembangan material mengenai perkara tersebut.
Notis berhubung taksiran cukai tambahan dan penalti sebanyak RM8.49 juta yang dikenakan LHDN itu adalah untuk tahun 2013 hingga 2018, berikutan pemansuhan kuota Bumiputera serta had keperluan kos rendah di kawasan pembangunan terpilih UEM Land di Iskandar Puteri, Johor. - DagangNews.com








