KUALA LUMPUR 13 Julai – AGARTECH Ventures Sdn. Bhd. (AVSB) menyasarkan pengeluaran sehingga satu juta benih pokok karas hibrid MyKynam setahun sebagai langkah memperkukuh industri gaharu tempatan, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab pengeluaran cip kayu dan gaharu premium bertaraf dunia.
Pengerusi AVSB, Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata, sasaran itu didorong oleh komitmen syarikat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi serta pengeluaran benih karas hibrid bagi memenuhi permintaan pasaran global yang semakin berkembang.
Ketika ini katanya, AVSB menghasilkan kira-kira 600,000 benih setahun yang dibangunkan di dua tapak semaian seluas 5.26 hektar di Lendu, Melaka.
"Usaha R&D yang dijalankan sejak 2017 berjaya menghasilkan 24 varieti karas hibrid, termasuk kacukan spesies Aquilaria malaccensis dengan karas Kynam dari China yang menghasilkan varieti dikenali sebagai MyKynam.
"MyKynam menghasilkan teras dan resin premium organik yang mendapat permintaan tinggi daripada pasaran antarabangsa termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Australia, negara Arab dan Eropah," katanya pada sesi taklimat media di sini hari ini.
Turut hadir pada sesi itu ialah Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Saiful Bahri Salleh dan Ketua Jabatan Agroteknologi, Fakulti Agrosains, Universiti Koleh Agrosains Malaysia (UCAM), Dr Mohd Syafik Mohamad Hamdan.

MyKynam berpotensi muncul komoditi bernilai tinggi
Hishamuddin berkata, berdasarkan rekod jualan industri gaharu global yang dianggarkan mencecah kira-kira AS$12 bilion setahun, MyKynam mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai komoditi baharu bernilai tinggi yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut beliau, potensi itu boleh direalisasikan sekiranya pembangunan industri gaharu dilaksanakan secara berjadual dan pada skala yang lebih besar.
Bagaimanapun katanya, pembangunan industri berkenaan memerlukan sokongan menyeluruh daripada kerajaan, termasuk penglibatan agensi berkaitan, pemain industri, institusi penyelidikan dan akademia.
Beliau berkata, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat menerusi media juga penting bagi memperluaskan pemahaman terhadap potensi ekonomi industri gaharu negara.
Antara institusi yang dikenal pasti memainkan peranan penting ialah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dalam aspek pembangunan kapasiti industri, manakala Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) menyokong pengukuhan penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan.

AVSB terus perkukuh ekosistem industri gaharu
Di peringkat syarikat, AVSB akan terus memberi tumpuan kepada aktiviti R&D, pengeluaran benih hibrid, pembangunan ladang komersial, pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan bagi memperkukuh keseluruhan ekosistem industri gaharu negara.
Hishamuddin berkata, Malaysia mempunyai kelebihan kompetitif untuk muncul sebagai peneraju industri gaharu baharu berikutan iklim tropika dan tanah yang sesuai untuk penanaman karas.
Menurut beliau, negara juga memiliki sistem logistik yang baik, kepakaran R&D yang semakin berkembang, modal insan berkualiti serta kedudukan strategik yang membolehkan pengeluar tempatan menembusi pasaran global dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, gabungan faktor tersebut meletakkan Malaysia pada kedudukan yang kukuh untuk membangunkan industri gaharu bernilai tinggi sebagai satu lagi sumber pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.
Yang turut hadir pada majlis taklimat media itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif AVSB, Calvin Leong Siu Cheong; Ketua Pegawai Kewangan AVSB, Zeff Ariffin Ismail serta Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan AVSV, Shahrezz Abdul Karim. -DagangNews.com








