KUALA LUMPUR 22 Julai - Johor bakal menjadi antara pemacu utama pertumbuhan AEON Co. (M) Berhad (AEON), selepas sumbangan hasil wilayah itu meningkat dengan ketara dalam tempoh lima tahun, disokong lokasi strategik pusat beli-belah, kuasa perbelanjaan pengguna lebih tinggi serta prospek ekonomi negeri yang kukuh.
TA Research berkata, sumbangan hasil wilayah Selatan meningkat kepada 20.1% daripada jumlah hasil kumpulan pada FY25 berbanding 14.0% pada FY21, mencerminkan kepentingan pasaran Johor yang semakin berkembang kepada strategi pengembangan AEON.
Kata firma penyelidikan itu, pertumbuhan tersebut disokong oleh prestasi cawangan strategik seperti AEON Permas Jaya, AEON Bukit Indah dan AEON Kulaijaya, selain program naik taraf berterusan di beberapa pusat beli-belah bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dan jumlah pengunjung.
"Analisis terhadap cawangan yang selesai dinaik taraf menunjukkan jualan meningkat kira-kira 15% selepas dibuka semula. Dalam jangka panjang, AEON dijangka terus memperluaskan kehadirannya di Johor bagi memanfaatkan pertumbuhan ekonomi negeri itu yang kekal kukuh, sekali gus menyokong permintaan runcit dan perbelanjaan pengguna," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sumbangan AEON Mall KL Midtown
TA Research berkata, selain wilayah selatan, pembukaan AEON Mall KL Midtown pada suku keempat 2026 akan menjadi pencapaian penting kepada kumpulan kerana ia merupakan pusat beli-belah gaya hidup premium lapan tingkat pertama AEON di Malaysia, sekali gus memperluaskan model perniagaannya melangkaui konsep gedung serbaneka tradisional.
Pusat beli-belah itu dijangka menjadi pusat beli-belah ke-28 milik AEON di negara ini dengan kadar penghunian awal sekitar 75% hingga 80%, disokong penyertaan beberapa penyewa utama seperti Oriental Kopi, Sushiro dan Komehyo.
"Walaupun sumbangan kewangan daripada projek itu dijangka lebih ketara bermula FY2027, ia dianggarkan menyumbang kira-kira 2% daripada hasil kumpulan pada tahun berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan BELI terhadap saham AEON dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.42 sesaham, berdasarkan penilaian Model Diskaun Dividen (DDM) dengan kadar kos ekuiti 7.7% dan kadar pertumbuhan 3.0%.
Prestasi Kewangan 2026
TA Research berkata, Aeon dijangka mencatat prestasi yang terus berdaya tahan bagi tahun kewangan 2026 (FY2026), disokong oleh permintaan pengguna yang lebih kukuh sempena musim perayaan utama, penambahbaikan campuran produk dan penyewa serta pembukaan AEON Mall KL Midtown.
Katanya, walaupun kumpulan berdepan peningkatan kos utiliti susulan pelaksanaan surcaj Automatic Fuel Adjustment (AFA) mulai Mei lalu, faktor-faktor tersebut dijangka mampu mengimbangi tekanan terhadap margin keuntungan.
Margin keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bagi segmen Perkhidmatan Pengurusan Hartanah (PMS) diunjurkan meningkat kepada 41.0% pada FY2026 berbanding 40.9% tahun sebelumnya, manakala margin segmen runcit dijangka bertambah baik kepada 1.0% daripada 0.7%.
"Prestasi separuh pertama FY2026 dijangka kekal kukuh hasil perbelanjaan pengguna sempena dua musim perayaan utama, selain pengurangan kos operasi berkaitan kerja-kerja pengubahsuaian berbanding tahun lalu serta kos elektrik yang lebih rendah hasil rebat AFA pada awal tahun.
"Bagaimanapun, prestasi pada separuh kedua dijangka kembali sederhana berikutan persekitaran AFA yang kurang menggalakkan dan corak perbelanjaan pengguna yang lazimnya lebih perlahan pada suku ketiga.
"Namun begitu, kami percaya kesan tersebut akan diimbangi oleh peningkatan perbelanjaan hujung tahun, sumbangan awal daripada pembukaan AEON Mall KL Midtown pada suku keempat serta penambahbaikan campuran jualan," katanya.
Dari sudut penilaian, saham AEON kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) hadapan sekitar 8.8 kali, hampir dua sisihan piawai di bawah purata lima tahunnya sebanyak 12.8 kali, sekali gus menjadikan penilaian saham itu masih menarik. - DagangNews.com








