KUALA LUMPUR 23 Mei — Advancecon Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Advancecon Infra Sdn Bhd (AISB) memperoleh kontrak bernilai RM68.5 juta daripada Sime Darby Property (Lagong) Sdn Bhd untuk pembangunan di Gombak, Selangor.
Kumpulan penyedia perkhidmatan kejuruteraan awam tersebut berkata, ia melibatkan cadangan kerja-kerja tanah dan sampingan untuk pembinaan serta penyiapan projek Peringkat 1 (Pakej 2) di perbandaran Lagong Mas.
Kontrak terbaharu berkenaan kata Advancecon, akan bermula pada 4 Jun 2025 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 3 Disember 2026.
"Penerimaan tender itu berlaku selang sehari selepas AISB menerima kontrak pembinaan pusat data untuk Gamuda Berhad di Port Dickson, Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan.
AISB yang merupakan pakar dalam kerja tanah dan perkhidmatan kejuruteraan awam dijangka melaksanakan projek berkenaan dengan menggunakan gabungan dana yang dijana secara dalaman atau daripada sumber pinjaman luar.
Tender terbaharu berkenaan turut diramalkan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak, tanpa kesan material ke atas modal saham atau pegangan pemegang saham yang besar.
Setakat 23 Mei 2025, kontrak terkini itu menjadikan jumlah buku tempahan tertunggak Advancecon kepada kira-kira RM800.8 juta, yang mengukuhkan lagi keterlihatan hasil Kumpulan dan mengukuhkan kedudukannya di Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Datuk Phum Ang Kia berkata, pihaknya berbangga dapat meletakkan asas fizikal yang menghubungkan komuniti dan memperkasakan kemajuan negara.
"Kemenangan kontrak ini turut mencerminkan misi kami untuk memupuk industri dalam membina asas yang teguh menghubungkan orang ramai dan mengubah negara.
"Kami bergerak dengan momentum, tetapi sentiasa ada nilai jangka panjang dan matlamat,” katanya. - DagangNews.com








