KUALA LUMPUR 18 April — Advancecon Holdings Berhad melantik Alicia Chin Mei Yoke sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang baharu berkuat kuasa serta-merta berikutan peletakan jawatan oleh Tan Chee Keong.
Syarikat penyedia terkemuka bagi kerja tanah dan perkhidmatan kejuruteraan awam di Malaysia itu dalam satu kenyataan berkata, penyandang yang sebelum ini telah berundur untuk memenuhi kepentingan profesional lain.
"Lembaga Pengarah Advancecon turut merakamkan penghargaan ikhlas kepada Chee Keong atas sumbangan yang berharga beliau sepanjang perkhidmatan kepada kumpulan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Alicia dengan lebih 25 tahun pengalaman kepimpinan kewangan, terutama sektor minyak dan gas global, akan membawa banyak kepakaran pengurusan, perancangan strategik serta kepimpinan transformasi.
Kerjaya beliau merangkumi peranan penting di seluruh Asia Pasifik dengan banyak syarikat multinasional utama termasuk sebagai Penolong Pengawal dan Peneraju Transformasi dalam organisasi kewangan global, Baker Hughes.
Dalam kapasiti tersebut kata kenyataan Advancecon, Alicia pernah bertanggungjawab untuk operasi kewangan merentas dua hab global, dan inisiatif transformasi untuk pasukan yang mengandungi lebih 600 kakitangan.
Ketajaman strategik beliau telah memainkan peranan penting dalam memacu kecekapan operasi, peningkatan keuntungan dan ketangkasan organisasi termasuk ketika bertugas dengan General Electric Oil & Gas.
Alicia mengetuai perancangan kewangan yang kompleks dan pengurusan aliran tunai untuk perniagaan berpendapatan lebih AS$1 bilion, sambil membina pasukan kewangan berprestasi tinggi di seluruh rantau ini.
Kepakaran beliau amat berharga untuk menguruskan peruntukan dan penggunaan aset serta menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang dengan rekod prestasinya terbukti dalam kepimpinan kewangan global.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Datuk Phum Ang Kia berkata, syarikat berbesar hati mengalu-alukan kemasukan Alicia berdasarkan semangatnya membina pasukan adalah sangat sesuai mempercepatkan rancangan pertumbuhan kumpulan.
"Pengalamannya menerajui transformasi kewangan akan terus mengukuhkan operasi, dan kami akan terus mengukuhkan operasi yang boleh digerakkan oleh kecekapan, serta mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan kami,” katanya.
Sementara itu, Alicia berkata, beliau berbesar hati untuk menyertai Advancecon pada persimpangan yang menarik kerana kumpulan ini memiliki visi dan asas kukuh merentasi kedua-dua infrastruktur dan sektor boleh diperbaharui.
"Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan pasukan kepimpinan untuk meningkatkan disiplin kewangan, mengukuhkan tadbir urus, dan menyokong bersama-sama fasa transformasi seterusnya," katanya. - DagangNews.com








