KUALA LUMPUR 8 Julai – Penyedia keselamatan siber dari Singapura, ABP Group, terus mengukuhkan kedudukannya di Malaysia dengan pembukaan pejabat baharu di KL Eco City, sebagai langkah strategik memperluas operasi dan menyokong pertumbuhan pasukan tempatan.
Kejayaan itu menjadi satu lagi pencapaian penting buat ABP Group selepas enam tahun beroperasi di Malaysia, selaras dengan strateginya untuk berkembang di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif ABP Group, Sun Yi berkata, pembukaan pejabat baharu itu membolehkan syarikat menambah kapasiti penyampaian perkhidmatan, mempererat hubungan dengan pelanggan dan bertindak balas dengan lebih pantas terhadap ancaman keselamatan siber yang semakin luas.
"Apabila permintaan terhadap penyelesaian keselamatan siber semakin meningkat, kehadiran kami di Malaysia adalah untuk lebih dekat dengan pelanggan dan bersedia memenuhi keperluan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Pejabat baharu di Kuala Lumpur itu menawarkan persekitaran moden dan luas, dibina khusus untuk menyokong pertumbuhan pasukan pakar keselamatan siber syarikat.
Ia turut dilengkapi dengan infrastruktur terkini bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan serantau, kerjasama teknikal serta pembangunan bakat tempatan.
Tambahnya, Malaysia memainkan peranan penting dalam pelan hala tuju ABP Group untuk Asia Tenggara.
“Pelaburan berterusan ini mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi Malaysia sebagai peneraju keselamatan siber di rantau ini.
"Malah, akan membawa kami lebih hampir ke arah mewujudkan ekosistem keselamatan siber yang lebih bersatu di Asia Tenggara, bermula dengan kerjasama antara Singapura dan Malaysia melalui infrastruktur bersama, bakat bersama dan piawaian daya tahan yang seiring,” katanya.
Ancaman keselamatan siber di Asia Tenggara terus meningkat seiring dengan lonjakan penggunaan digital.
Menurut Laporan Kaspersky Cybersecurity, Malaysia mencatat 19.62 juta serangan berasaskan web dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang tertinggi di rantau.
ABP Group menawarkan perkhidmatan keselamatan siber menyeluruh melalui tiga unit perniagaan utama iaitu Sunnic yang memacu inovasi teknologi serta penyelidikan dan pembangunan (R\&D).
Kedua, ABP Cyber yang menyediakan penyelesaian keselamatan siber khusus dan ABP Securite menggerakkan pengedaran nilai tambah melalui rangkaian rakan niaga yang kian berkembang.
Tambahnya, ketiga-tiga unit ini saling melengkapi dalam menghasilkan impak serantau dengan pendekatan yang tepat dan bersesuaian di peringkat tempatan.
"Pejabat KL Eco City akan menjadi hab utama ABP Group bagi penglibatan pelanggan, kerjasama teknikal dan pembangunan bakat tempatan.
“Ini bukan sekadar pengembangan fizikal. Ia mengenai membina infrastruktur yang mampu menyampaikan penyelesaian keselamatan siber secara besar-besaran.
"Ketika Malaysia melangkah lebih jauh dalam era digital, keperluan terhadap rakan keselamatan siber yang dipercayai akan terus meningkat," katanya.-DagangNews.com








